Imarah masjid secara musyawarah – Rosidi Hussain

SESI pentadbiran Masjid-Masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan tamat pada penghujung tahun ini sudah tentu menuntut pada proses melantik Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang baru.

Atas tuntutan itu, suatu persiapan khusus sedang dilakukan membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan perkenanan Duli Yang Maha Mulia Yang Di- Pertuan Agong bermula sejak September lepas lagi.

Ahli Majlis bagi MAINPP, Rosidi Hussain selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid- Masjid Pulau Pinang semasa ditemui wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB mengakui bahawa taklifan yang diterimanya ini bukanlah suatu kerja yang mudah.

“Proses melantik Ahli Karyah Masjid sepatutnya tahun lepas, dilanjutkan tempoh sehingga Disember tahun ini.

“Selama setahun, atas kebijaksanaan pihak istana, pihak istana telah melantik Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Sazali Hussein untuk mengetuai Jawatankuasa Bebas bagi mengemukakan proses melantik Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid dan jawatankuasa ini dianggotai oleh kakitangan kerajaan sahaja dan pimpinan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pihak istana tak lantik Exco Hal Ehwal Agama, Tuan Haji Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Datuk Mohd. Salleh Man (Yang Dipertua MAINPP), saya atau mana-mana ahli politik untuk mengganggotai jawatankuasa bebas itu supaya cadangan yang sampai ke istana kelak adalah benar-benar dilihat bebas dari pengaruh politik.

“Saya difahamkan, banyak kali mesyuarat diadakan untuk mencari kaedah dan tatacara terbaik dan Agong perkenan dengan proses melantik Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid dilakukan secara musyawarah dengan sistem ‘angkat tangan’ dalam mesyuarat.

“Selepas saya dilantik menjadi Ahli Majlis bagi MAINPP, saya diberi amanah untuk merealisasikan hasrat istana ini. Tugas ini, saya akui bukan mudah dan memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran,” ujar beliau.

KONTROVERSI?
Menurut Rosidi, proses melantik Jawatankuasa Karyah Masjid sejak tahun lepas menjadi perhatian umum disebabkan laporan media massa arus perdana serta ahli-ahli politik pembangkang Pulau Pinang.

“Sebahagian mesyuarat Kariah Masjid memang ada semasa itu dan hasil keputusan mesyuarat pun memang ada dihantar ke Pejabat Agama Daerah sebelum sampai ke MAINPP. Tak tahu siapa yang patut dipersalahkan (kerana) senarai nama lain yang dihantar oleh kariah, tetapi nama lain yang menerima surat watikah pelantikan.

“Lagi sedih, mereka yang menerima (watikah perlantikan) ini ada yang bukan ‘orang masjid’ tetapi kepada mereka yang tiada integriti.

“Selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang berpindah tangan, baru kita sedari bahawa urus tadbir Masjid seakan ada yang tidak kena dan perlu diperbaiki secara integriti apabila mesyuarat kariah tidak diadakan saban tahun di kebanyakan masjid, tiada audit dalaman dalam duit tabung masjid serta wujud unsur salah guna kuasa dalam mengurus program-program masjid sampai masjid tidak imarah dengan majlis ilmu dan sebagainya. Semua masalah malar segar ini bukan berlaku di semua masjid, tapi di kebanyakan masjid yang menolak proses melantik Jawatankuasa Kariah Masjid belakangan ini.

“Menyedari hakikat ini, proses melantik jawatankuasa kariah yang baru mesti berbeza dengan zaman sebelum tahun 2008. MAINPP sependapat dengan perkenanan Agong, iaitu ahli-ahli kariah mesti diberikan suara untuk melantik Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing secara ‘angkat tangan’ sekiranya wujud unsur-unsur ketidakadilan atau tiada ketelusan , pihak anak karyah atau karyah sendiri boleh mengemukakan cadangan alternatif mengenai kaedah dan tatacara pelantikan ini kepada MAINPP semula.

“Tak perlulah saya sebut, mengapa kaedah dan tatacara melantik Ahli Karyah Masjid sekarang ini ditentang habis- habisan oleh proksi proksi pembangkang Pulau Pinang?,” ujar beliau.

Beliau mendakwa, kaedah dan tatacara melantik Jawatankuasa Kariah Masjid yang diperkenan oleh Agong dipertikai mungkin disebabkan pihak-pihak tertentu itu mahu menyembunyikan sesuatu yang tidak telus dari pengetahuan umum.

PERSIAPAN
Beliau berkata, mesyuarat kariah dan proses melantik jawatankuasa kariah masjid dijadualkan bermula awal tahun tahun depan.

“Januari ini, MAINPP akan melakukan kerja-kerja mengabsah Ahli-Ahli Kariah yang berdaftar sebelum proses melantik Jawatankuasa Karyah Masjid yang baru dilakukan.

“Lebih kurang 45 hari masa untuk semua Jawatankuasa Karyah Masjid memilih tarikh yang sesuai bagi mengadakan mesyuarat melantik Ahli Kariah Masjid masing-masing. Cadangkan tarikh, masa dan tempat, wakil MAINP atau wakil Pejabat Agama Daerah akan turut sebagai pemudah cara,” ujar beliau.

 

HARAPAN
Demi mengangkat martabat Masjid sebagai ‘One Stop Center’ bagi semua lapisan rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di negara moden Madinah al-Munawwarah, Rosidi berkata, beliau akan cuba membawa konsep UMMI – Ukhwah (persaudaraan), Mahhabbah (kasih sayang) dan Muhasabah (koreksi) dan Istiqamah (memakmuran masjid) sebagai budaya pengurusanya dalam MAINPP.

“Harapan saya, MAINPP boleh bersama-sama dengan seluruh rakyat, khususnya umat Islam di Pulau Pinang ini dalam melakukan kerja-kerja kebaikan sungguhpun mempunyai cara berfikir yang berbeza.

“Kalau boleh, semua pihak berwajib boleh membantu MAINPP melangsungkan proses melantik Jawatankuasa Kariah Masjid sebaik mungkin kerana Masjid adalah simbol perpaduan ummah yang mesti direalisasikan oleh semua kita.

“Orang Islam minoriti di Pulau Pinang, saya rasa, pendekatan Ukhwah, Mahabbah, Muhasabah dan Istiqamah atau “UMMI” dalam meingimarahkan semua masjid di negeri ini perlu partisipasi kita semua.

“MAINPP akan terus mencari jalan untuk membantu pentadbiran di peringkat masjid-masjid sedaya mungkin kerana yang lebih penting dari soal proses melantik Jawatankuasa Kariah Masjid ini sebenarnya adalah mengimarahkan masjid dengan aktiviti dakwah, kuliah-kuliah ilmu biar jadi seperti ‘One Stop Center’ semacam zaman Rasulullah s.a.w,” ujar beliau.