Imbasan 2010 : Hal ehwal agama Islam

HAL EHWAL AGAMA : PERUNTUKAN MENINGKAT 100%, JASA GURU KAFA & TAKMIR, PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM TURUT DIHARGAI

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan RM24.3 juta pada tahun 2010 bagi Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Jumlah peruntukan ini, meningkat 100% berbanding peruntukan pada tahun 2008 (semasa pemerintahan Barisan Nasional-BN) iaitu sebanyak RM12.5 juta sahaja. Jumlah ini meliputi pembangunan, pengurusan dan lain-lain kepentingan yang berkaitan dengan Hal Ehwal Agama Islam.

Dasar Perkuasakan Rakyat juga dapat dilihat apabila Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) turut memberi sumbangan sebanyak RM231,000 kepada 206 buah masjid di Pulau Pinang, sumbangan Ihya’ Ramadhan, bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), mengadakan Sambutan Bulan al-Quran dan juga Ijtimak al-Huffaz.

Adalah ditegaskan bahawa laporan daripada Jabatan Kewangan Negeri jelas menunjukkan bahawa Kerajaan PR tidak pernah berbohong semasa memberi kenyataan bahawa peruntukan BN untuk hal ehwal agama Islam pada tahun 2008 adalah sebanyak RM12,548,580.00 sahaja. Jabatan Kewangan Negeri mengesahkan bahawa RM12,548,580.00 terdiri daripada RM7,548,580 untuk belanja mengurustadbir perjalanan hal ehwal agama dan RM5,000,000 untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan RM12.5 juta adalah di bawah Kerajaan BN, di bawah Mantan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Sekiranya dibandingkan dengan Belanjawan pertama Kerajaan PR pada 2009, peruntukan jelas bertambah kepada RM20.5 juta yang juga merangkumi perbelanjaan mengurustadbir dan pembangunan.

Selain itu, bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang lalu, buat julung kalinya, pemberian ex gratia telah dihulurkan kepada penyelia, pegawai-pegawai masjid dan guru-guru Kelas Asas Fardhu ‘Ain (KAFA) sebanyak RM250 di atas jasa dan perkhidmatan cemerlang mereka. Seramai 1,396 guru KAFA telah menerimanya dan kos keseluruhan adalah berjumlah RM349,000. Lazimnya, sumbangan ini adalah sebagai galakan kepada mereka untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dalam mendidik generasi muda Pulau Pinang. Malah, para huffaz dan guru-guru takmir juga turut menerima sumbangan dan penganugerahan khas daripada Kerajaan Negeri.

Bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM2.749 juta berbentuk sumbangan dan bantuan-bantuan lain yang telah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat Pulau Pinangsamada secara langsung mahupun tidak langsung. Malah Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng telah menyatakan dalam Belanjawan 2011 bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM63.21 juta bagi pembangunan dan perkembangan Hal Ehwal Agama Islam, para huffaz dan para guru Kelas Fardhu ’Ain di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, para penjawat Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang juga tidak dilupakan. Mereka telah menerima Bantuan Khas Kewangan atau duit raya sebanyak RM500 seorang. Sumbangan tersebut turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Perbadanan Bekalan Air (PBA); Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 ini melibatkan sejumlah 3,700 kakitangan Jabatan Negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.85 juta.