Imuda anggap anugerah diterima sebagai pengiktirafan kepada anak seni

Admin
img 20240730 wa0032

GEORGE TOWN – Pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan kartunis popular tanah air, Imuda menganggap penganugerahan yang diterima beliau sebagai pengiktirafan kepada semua anak seni di negara ini.

Imuda,65, atau nama sebenarnya A. Rahim Muda merupakan antara 103 penerima menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Beliau menerima anugerah tersebut dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Dewan Sri Pinang.

Imuda berkata, penganugerahan yang diterima adalah suatu penghargaan dan penghormatan kepada seluruh anak seni di negara ini khususnya anak jati Pulau Pinang.

“Sejujurnya, saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang (Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak).

“Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan yang memasuki hari kedua hari ini.

Imuda yang popular menerusi watak Budin dalam komedi situasi (sitcom), Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata, beliau melihat peluang berkarya untuk anak seni di negeri Pulau Pinang adalah agak luas dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri.

“Tidak dinafikan bahawa di Pulau Pinang juga ada peluang-peluang yang baik untuk anak seni berkarya namun masih banyak ruang penambahbaikan boleh dilakukan.

“Masih banyak syarikat-syarikat penerbitan perlu diwujudkan di negeri Pulau Pinang bagi membuka ruang kepada pengembangan kesenian terutamanya dalam seni kreatif.

“Namun sekiranya mereka (anak seni) mahu berkembang dan berkecimpung dalam dunia seni dengan lebih serius, maka mereka perlu berani untuk berhijrah terutamanya ke ibu kota yang terkenal dengan pusat seni kreatif,” katanya yang dilahirkan di Bukit Mertajam.

Selain Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda yang memulakan kerjayanya sebagai pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut membintangi beberapa buah filem, antaranya Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasikan daripada karya Lat), Mat Gelap, Imigran dan Jutawan Fakir.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD