Indeks jenayah turun 23% hasil kerjasama PDRM, KN & rakyat

Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Indeks  jenayah Pulau Pinang turun 23 peratus dalam tujuh minggu tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi di sini baru-baru ini.

Katanya, sehingga 14 Februari lalu, rekod jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 231 kes.

“Ini merupakan hasil yang positif. Ia merupakan hasil kerjasama kami (Polis Diraja Malaysia, PDRM) dengan Kerajaan Negeri dan juga masyarakat umum,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Fasa Dua di Komtar di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim menyatakan bahawa siasatan kes gereja Katolik yang dilempar ‘molotov cocktail’ dekat Jalan Farquhar, kes balingan bahan letupan di Balai Polis Bukit Tengah dan beberapa lagi masih berjalan.

“Sehingga kini, kami (PDRM) masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Saya menyeru mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu kami (PDRM),’’ seru beliau.

Dalam pada itu, bahagian pulau Pulau Pinang kini dilengkapi 140 CCTV (tambahan 80 CCTV baru) di serata lokasi bertujuan membanteras kegiatan jenayah.

CCTV tersebut ditempatkan di lokasi berkecenderungan jenayah dikenalpasti PDRM dan juga di persimpangan-persimpangan jalan untuk tujuan pengawalan trafik, penguatkuasaan dan perancangan.

Pemasangan 80 CCTV baru di bawah fasa dua adalah bermula pada November 2013 dan lengkap, Januari lalu dengan kos RM5.8 juta.

Bercakap pada majlis sama, Guan Eng berkata, pemasangan 80 lagi CCTV sekitar pulau baru-baru ini adalah kerana Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 percaya bahawa langkah itu mampu mengurangkan indeks jenayah di negeri ini.

Kira-kira 284 CCTV dipasang di pulau dan Seberang Perai, sebelum ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 75 CCTV baru disumbang MPPP, manakala, baki lima oleh pihak pemaju projek fasa kedua berkenaan iaitu Datasonic Technologies Sdn. Bhd..

“Kami merancang untuk menambah 32 lagi melalui MPPP dan 30 lagi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun ini.

“Kami berharap ini akan membantu polis memerangi jenayah juga,” nyatanya.

Difahamkan, peralatan fasa kedua projek tersebut lebih canggih, sebanyak 34 CCTV tersebut mempunyai fungsi pan, tilt and zoom (PTZ), manakala, 46 lain adalah dalam pemandangan tetap.

Kamera PTZ mempunyai keupayaan zum 37 kali ganda yang membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dapat dilihat pada jarak maksima kira-kira 100 meter dari lokasi kamera pada waktu siang.

“Seiring dengan ini, setiap kamera CCTV dilengkapi dengan kemudahan infra-red untuk perolehan gambar yang lebih jelas pada waktu malam,” jelas Guan Eng.

Tidak cukup dengan itu, tambahnya, fasa kedua projek CCTV tersebut turut dilengkapkan dengan horn speaker untuk pengumuman kecemasan, yang diselia dari pusat kawalan CCTV.

Terdahulu, sebanyak 36 CCTV dengan kos RM5.9 juta telahpun dipasang oleh MPPP pada tahun 2008 di pulau, di bawah fasa pertama program pencegahan jenayah negeri.

Manakala, 24 CCTV tambahan dipasang kemudian oleh KPKT di sekitar pulau pada tahun 2011.

Kesemua CCTV itu dikawal 24 jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK), manakala, MPPP pula membuat kawalan trafik menerusi sistem sama selama 12 jam sehari, bermula 7 pagi.