SEBERANG JAYA – Induksi Khaira Ummah 2030 yang berlangsung selama satu hari dekat sini berjaya mencapai tujuh resolusi untuk tindakan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan umat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tujuh resolusi yang dicapai tersebut mengandungi elemen-elemen yang memberikan peranan kepada ibu bapa, remaja dan ekonomi dalam meningkatkan status umat untuk menghadapi tahun 2030.
“Nampaknya semua (pemegang taruh) juga bersetuju tentang peranan masjid dalam menyediakan umat terbaik untuk kita menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.
“InsyaAllah dengan bantuan semua pihak, kita mencuba untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah kita kenal pasti.
“Segala idea yang dikemukakan memberi banyak panduan kepada kami (pengurusan Hal Ehwal Agama Islam) dalam memacu semua aktiviti berkaitan dan pentadbiran umat Islam supaya kita bergerak dan mencapai Khaira Ummah 2030.
“Alhamdulillah… kita menyelesaikan bengkel ini dengan menyediakan ‘Blueprint Ummah 2030’ yang kita sandarkan kepada Visi Penang2030,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti semasa menyampaikan amanat penangguhan Induksi Khaira Ummah 2030, di sini semalam.
Difahamkan, lebih 100 pemegang taruh mengambil bahagian dalam bengkel berkaitan yang bermatlamat untuk mencari idea bagi merangka pembangunan jangka masa panjang umat Islam selama 10 tahun atau satu dekad sehingga tahun 2030.
Antara resolusi yang dicapai adalah melahirkan generasi Khaira Ummah (sebaik-baik umat) untuk Pulau Pinang menjelang tahun 2030 selain menjayakan lima teras utama yang mendokong pelan pembangunan sedekad Khaira Ummah 2030 serta menjadikan ilmu sebagai teras dalam keutuhan ummah.
Di samping itu, semua pemegang taruh juga perlu menunjukkan iltizam bagi menyatukan semua entiti ekonomi dalam membina kebajikan umat serta mengembalikan peranan ibu bapa dalam menjayakan Khaira Ummah.
Turut terkandung dalam tujuh resolusi tersebut adalah mengiktiraf peranan dan sumbangan anak muda sebagai tunjang Khaira Ummah 2030 serta mengangkat martabat masjid sebagai pusat pembangunan ummah menjelang tahun 2030 nanti.
Terdahulu, semasa bercakap kepada Buletin Mutiara, Ahmad Zakiyuddin menjelaskan bahawa Khaira Ummah 2030 menggariskan lima teras pembangunan untuk menggerakkan pembangunan ummah iaitu Hikmah, Ekonomi, Baiti jannati, Anak Muda dan Tarbiyah atau H.E.B.A.T (secara akronimnya).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS