Ingat golongan kurang mampu pada tahun baru – ADUN

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Seramai 50 orang kurang upaya (OKU) dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Eden Handicap Services Centre (EHSC), Rumah Cahaya Kasih (Jalan Groove) dan Little Sister of the Poor (Jalan Batu Lanchang) diraikan dalam majlis ringkas sempena sambutan Tahun Baru Cina di Jalan Cheeseman di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Wong Hon Wai ketika ditemui berkata, dalam kegirangan dan kemeriahan menyambut tahun baru (Tahun Baru Cina), masyarakat umum juga perlu sentiasa ingat akan golongan kurang berkemampuan.

“Tujuan majlis kita bukan sahaja ingin berkongsi kegembiraan tahun baru dengan golongan memerlukan, tetapi juga membantu meringankan beban mereka,” ujarnya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Kira-kira 200 hadirin memeriahkan majlis yang turut dihadiri Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Tan Kim Hooi dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Cheeseman.

Hon Wai berkata, sejumlah 50 buah hamper yang berupakan makanan asasi dan makanan perayaan Tahun Baru Cina disumbangkan kepada mereka yang terpilih.