Inisiatif baucar tunai ZPP, beri pilihan asnaf beli barangan keperluan sendiri

SERI DELIMA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengambil inisiatif dengan memberi pilihan kepada penerima zakat untuk membeli barangan keperluan harian sendiri menggunakan baucar tunai berbanding sebelum ini, pemberian dalam bentuk hamper.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, pembaharuan yang diperkenalkan ZPP lebih memberi pilihan kepada penerima. 

“Saya difahamkan, ini adalah ekoran beberapa cadangan yang mana ada kalanya barangan yang diterima adalah tidak diperlukan atau ada penerima zakat ingin beberapa barangan keperluan tersendiri.

 

“Oleh itu, dengan adanya baucar tunai ini, tuan-tuan dan puan-puan boleh membeli apa sahaja barangan yang dirasakan perlu oleh seisi keluarga pada bulan Ramadan ini dengan jumlah RM100,” ujarnya pada Majlis Pemberian Sumbangan Zakat Seri Delima dekat Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Tun Sardon baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Penghulu bagi Parlimen Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib dan Pengerusi MPKK Taman Tun Sardon, Hafiz Abdul Aziz.

 

Seramai 150 asnaf di KADUN Seri Delima menerima baucar tunai bernilai RM100  sempena Ramadan tahun ini. 

 

Syerleena dalam pada itu, mengalu-alukan penduduk setempat untuk mengutarakan sebarang masalah di Pusat Khidmat Seri Delima agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN