Inisiatif CCTV ‘Watch You’ mula kurangkan pembuangan sampah haram

SEBERANG JAYA – Pemasangan beberapa kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih, Watch You di tapak tong komunal milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dilihat mula membuahkan hasil.

 

 

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin, inisiatif tersebut berjaya mengurangkan masalah pembuangan sisa pepejal industri dan pembuangan sampah di luar tong komunal milik MBSP.

 

 

“Antara lokasi yang berjaya kita selesaikan adalah di tapak tong komunal Taman Widuri  yang mana sejak kita pasang CCTV (Watch You), belum ada lagi kes (pembuangan sampah haram) dilaporkan.

 

“Begitu juga di tapak tong komunal Penaga, sejak dipasang CCTV kita boleh anggap masalah di sana juga selesai manakala di Jalan Kubang Semang (hadapan kubur Islam Kampung Petani) kita (MBSP) baru pasang untuk menyelesaikan pembuangan sampah secara haram dan sebanyak 25 kompaun telah dikeluarkan oleh JPP setakat ini.

 


“Bagi tapak tong komunal Kampung Kepala Gajah ada masalah gangguan bekalan internet di kawasan itu, jadi kita hentikan sementara dan mungkin pemantauan secara berkala akan dijalankan oleh anggota MBSP,” ujar Ahmad Zabri ketika dihubungi Buletin Mutiara pagi tadi.

Difahamkan masalah pembuangan sampah di Taman Cendana Permai belum diselesaikan dan akan dapat dilakukan dalam masa terdekat.

 

Pada 20 Oktober lalu, MBSP telah memperkenalkan ‘Watch You’ bertujuan membendung pembuangan sampah haram dan pembuangan sampah di luar tong komunal milik MBSP.

 


Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad pada sidang media tersebut berkata, sebanyak 16 lokasi atau kawasan hotspot tapak tong komunal yang didapati berlakunya masalah pembuangan sampah di luar tong sampah di sekitar Seberang Perai bakal dipasang CCTV mudah alih berkenaan.

 


“CCTV ini dilengkapi dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu membuat pengecaman nombor pendaftaran kenderaan serta pengecaman muka bagi pelaku yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

 

 

“Sehingga ini sebanyak 55 kompaun telah dikeluarkan melalui pemantauan CCTV Watch You kepada individu atau syarikat yang didapati telah melakukan kesalahan.

 

 

“Justeru, saya menyeru kepada semua warga Seberang Perai supaya sentiasa menjaga kebersihan awam.

 

 

“Tindakan membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya dan melupuskan sisa pepejal industri dan perdagangan di tong komunal MBSP merupakan satu kesalahan dan boleh dikompaun sebanyak RM2,000,” tegas Azhar.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR