Inisiatif CSR swasta dan PBT ke arah negeri sihat, hijau

Admin

AIR PUTIH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memuji inisiatif syarikat-syarikat swasta yang sudi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri sihat dan hijau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Gelanggang Futsal dan Kemudahan Rekreasi Taman Kejiranan Lebuh Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, usahasama yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan negeri Pulau Pinang perlu diteruskan dari masa ke masa.

Misalnya, jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, projek mewujudkan sebuah gelanggang futsal dan kemudahan rekreasi di sini.

“Tahniah dan syabas kepada penaja yang menjayakan projek ini sekaligus menjadikan ianya projek CSR pertama membabitkan pembinaan gelanggang futsal berspesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mengikut standard antarabangsa dengan kos mencecah RM400,000.

“Begitu juga penaja bagi landskap di Taman Kejiranan Lebuh Padang Tembak ini, PLB Engineering Berhad (PLB) yang menyumbang RM100,000 bagi kerja-kerja landskap di sini,” ujarnya yang mahu melihat lebih banyak program-program penghijauan dapat dilaksanakan secara CSR pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut menyelar sesetengah pihak khususnya media yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), yang bertindak memburukburukkan negeri Pulau Pinang.

“Contohnya isu melibatkan pembersihan hutan, adalah tidak benar Kerajaan Negeri menebang bukit dan pokok, sedangkan tiada seinci pun hutan simpan kekal negeri ‘disentuh’.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri telah menanam 271,000 pokok baru ke arah menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri hijau bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail mengumumkan inisiatif PBT berkenaan mewujudkan lima lagi taman poket iaitu Taman Poket Tanjung Bunga, Taman Poket Jalan Cengai, Taman Poket Jalan Chan Siew Teong, Taman Poket Taman Western dan Taman Poket Lebuhraya Maktab.

Tambah beliau, lapan taman kejiranan iaitu di Kampung Pisang, Taman Air Raja, Persiaran Paya, Changkat Minden Lorong 14, Jalan Nibong, Taman Emas, Solok Bukit Belah 5 dan Lorong Pondok Upeh juga bakal diwujudkan.

“Projek-projek penghijauan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Komuniti Bersih dan Hijau.

“ Selain projek-projek penghijauan ini, MBPP turut melaksanakan inisiatif menanam pokok teduhan sepanjang tahun membabitkan agensi kerajaan , badan-badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), ADUN, perhotelan dan sekolah-sekolah.

“Malah, MBPP juga giat mengenal pasti pokok-pokok warisan bagi usaha pemuliharaan,” jelas Patahiyah yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penaja projek CSR di Taman Kejiranan Lebuh Padang Tembak ini.

Selain PLB Engineering Berhad, turut terlibat dalam mewujudkan gelanggang futsal di sini adalah syarikat Intradeco Sdn. Bhd. dan East Design Sdn. Bhd..