GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi membuktikan bahawa hasil urustadbir CAT tidak pernah meminggirkan mana-mana prospek termasuklah inisiatif halal yang kini semakin ligat dilaksanakan dan mula mendapat tempat di kalangan masyarakat, bukan sahaja di Malaysia malah di persada dunia.
Mengimbas kembali tsunami kebangkitan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang pada Mac 2008, Kerajaan PR telah menubuhkan PIHH Development Sdn. Bhd. atau dikenali sebagai Halal Penang pada April 2009 sebagai langkah memperkasakan industri halal bukan sahaja di Pulau Pinang malah di persada dunia.
Penang International Halal Expo and Conference (PIHEC) 2011 yang lalu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam mempergiat industri halal di mata dunia malah penglibatan negara-negara luar seperti Republik Rusia, Iran, Pakistan, Thailand, Indonesia, Kyrgystan dan Korea cukup membuktikan kemampuan bahawa industri halal mampu berkembang dan menjana pendapatan yang lumayan. Turut dianggarkan sejumlah USD$ 3.1 trilion hasil halal dunia diperoleh melalui industri ini pada tahun lalu.
Tahun 2011, pengikhtirafan status HALMAS kepada Penang Halal Industries Park di Bukit Minyak, oleh Halal Development Corporation (HDC) sekali lagi menambah kerancakan perkembangan inisiatif halal di Pulau Pinang.