Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Halal Global atau ‘Global Halal Centre’ semakin membuahkan hasil apabila baru-baru ini Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkesempatan memenuhi pelawaan Kerajaan Turki ke 4th Istanbul Halal Expo & Conference 2013 di Istanbul.
Abdul Malik yang juga Pengerusi Penang International Halal Hub (Halal Penang) turut menerima pengiktirafan dan penghormatan untuk menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan ekspo tersebut yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Turki, Yang Berbahagia Bulent Arinc.
4th Istanbul Halal Expo & Conference 2013 adalah anjuran CNR Expo melibatkan 80 buah negara dan 300 pemamer meliputi negara Timur Tengah dan Eropah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan beliau, jemputan tersebut merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri atas aspirasi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Halal Global.
Beliau turut menyertai delegasi Timbalan Perdana Menteri Turki melawat tapak pameran di ekspo berkenaan.
Abdul Malik turut menzahirkan hasrat Pulau Pinang dalam mewujudkan jalinan kerjasama dua hala bersama Turki dalam membangunkan industri halal.
Beliau turut mengadakan pertemuan rasmi dengan beberapa buah syarikat tempatan Turki antaranya Caprice Gold Groupe, sebuah syarikat industri perhotelan terkemuka di Turki.
Sebelum ini, Halal Penang turut diberi penghormatan yang sama di persidangan Halal Antarabangsa di Kuwait, Pakistan, Thailand, Riyadh dan London.
Malah pada 26 September lalu juga, sekali lagi Halal Penang diberi penghormatan di Persidangan Halal Antarabangsa Morocco diikuti pada Disember nanti di Persidangan Halal Antarabangsa Belgium.
Usaha penjenamaan selama tiga tahun sejak penubuhan Halal Penang pada Ogos 2008 menampakkan hasilnya.
Sehingga akhir tahun lalu, Halal Penang telah berjaya menarik pelaburan dalam dan luar negara berjumah RM484 juta.
Usaha berterusan Kerajaan Negeri dan Halal Penang dalam membangunkan industri halal di Pulau Pinang dengan menerapkan konsep ‘Halal Ecosystem‘ sejak lima tahun lalu menjanjikan perkembangan yang positif terutamanya kepada pelabur dan penggiat industri halal dunia.