BATU MAUNG – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berharap inisiatif Kerajaan Negeri melalui Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Dua projek RTB menerima peruntukan Kerajaan Negeri adalah RTB Taman Iping dan RTB Kampung Naran.
“Selain itu, Kerajaan Negeri membiayai RTB Bayan Baru. Di Bayan Baru sudah siap, Taman Iping baru empat bulan siap dan RTB Kampung Naran dalam pembinaan.
“Namun 24 September baru-baru ini, hujan pada hari tersebut mencatatkan antara bacaan tertinggi sebanyak 72 milimeter (mm) dalam masa satu jam sahaja, jadi ada rumah-rumah (di Kampung Naran) terjejas kerana projek masih dalam pembinaan.
“Jadi apabila RTB Kampung Naran itu siap kita harap risiko banjir di DUN Batu Maung ini dapat dikurangkan,” ujar Abdul Halim yang juga ADUN Batu Maung pada Program Hari Keluarga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Maung bertempat di Masjid Umar Abdul Aziz di sini baru-baru ini.
Hadir sama, mantan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengerusi Kariah Masjid Umar Abdul Aziz, Omar Yatim.
Antara pengisian program termasuklah sepak raga tuju, pertandingan mewarna kanak-kanak, sumbangan makanan kepada golongan terpilih dan jamuan tengah hari.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADUN