Inisiatif proaktif anjur sesi libat urus babit rumah ibadat, pupuk nilai harmoni

Admin

SEBERANG JAYA – Penganjuran sesi libat urus membabitkan rumah ibadat dilihat sebagai salah satu pendekatan terbaik dalam memupuk nilai harmoni dalam kalangan masyarakat.

 

Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan inisiatif proaktif yang mampu mengekalkan persekitaran yang aman dan damai.

 

“Kerjasama utuh melibatkan Penang Harmony Corporation (HARMONICO) dan Rumah Ibadat Street of Harmony Seberang Jaya adalah sebahagian usaha memupuk perpaduan kaum dan keseimbangan hubungan di antara masyarakat yang berbilang kaum.

 

“Di samping itu, tidak dapat dinafikan lagi Kawasan di sekitar ini (dikenali sebagai Street of Harmony) sangat sesuai untuk dijadikan sebuah pusat harmoni dek keterangkuman kesemua rumah ibadat Islam dan bukan Islam yang terletak berdekatan antara satu sama lain,” katanya ketika hadir pada majlis berkaitan di Dewan Kuil Arulmigu Karumariamman dekat sini, pada 9 Julai 2023.

 

Hadir sama, wakil-wakil dari Kuil Ku Cheng Tse; Kuil Arulmigu Sri Bala Murugan; Kuil Sri Sri Radha Krishna; Peniel Christian Fellowship; Persatuan Buddhist Seberang Jaya; Kuil Guang Yin; Kuil Arulmigu Karumariamman dan Masjid Sembilang Seberang Jaya

 

SESI libat urus yang diadakan melibatkan kesemua rumah ibadat bersama Chong Eng.

Dalam sesi sama yang diadakan Chong Eng yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut meluangkan masa menyampaikan pengiktirafan Anugerah Harmony Point kepada sembilan buah rumah ibadat yang terlibat dalam program pendidikan yang dianjurkan dengan kerjasama Arts-ED iaitu sebuah organisasi bukan laba yang memberi fokus terhadap pendidikan, kesenian dan budaya berasaskan komuniti.

 

“Sebuah program pendidikan untuk pelajar-pelajar sekolah sekitar Pulau Pinang bakal diadakan dengan kerjasama Arts-ED melibatkan sembilan rumah ibadat dan 12 fasilitator.

 

“Fasilitator ini telah melalui proses latihan secara berkala dan bakal memberi pendedahan mengenai konsep harmoni serta latar belakang Street of Harmony dengan memfokuskan perhatian terhadap golongan muda.

 

“Justeru, saya juga akan turut berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk bekerjasama sebagai platform permulaan Jelajah Harmoni serta memulakan pendedahan pada peringkat sekolah,” tambahnya yang juga Pengerusi HARMONICO.

 

Terdahulu, Chong Eng hadir untuk mendengar perkongsian daripada wakil-wakil rumah ibadat mengenai beberapa masalah berbangkit antaranya melibatkan masalah trafik, tempat parkir dan pengumpulan sampah.

 

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL