GEORGE TOWN – Satu inisiatif komunikasi sains komuniti istimewa dari kolaborasi antara Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Planetarium Negara, Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN), Malaysian Scientific Association (MSA) dan Universiti Sains Malaysia (USM) membuka peluang kepada orang buta untuk merasai fenomena gerhana matahari semalam.
Inisiatif ini membawa peralatan LightSound dari Harvard University yang digunakan untuk menukar kekuatan cahaya matahari kepada frekuensi bunyi.
Walaupun orang buta tidak mampu melihat gerhana matahari, mereka masih boleh mendengar frekuensi bunyi yang bertukar dari tinggi ke rendah apabila bulan menghalang cahaya matahari.
Seramai lebih 30 OKU dari Persatuan Orang Cacat Penglihatan Pulau Pinang dan St. Nicholas Home dan orang awam hadir ke Tech Dome Penang untuk menyaksian gerhana berpeluang merasai pertukaran gelombang bunyi ketika fenomena gerhana matahari yang berlaku di antara jam 11:15 pagi hingga 3:06 petang dengan halangan matahari maksimum pada pukul 1:08 tengahari semalam.
Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, YB Chris Lee Chun Kit, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang (TDP), Dr. Khong Yoon Loong; Pakar Biologi dan Hidupan Marin Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Zulfigar Yasin dan Pengerusi Orang Cacat Penglihatan Pulau Pinang, Mohd. Rodzi Ariffin.
YB Chris Lee memuji initiatif dan kerjasama erat antara Universiti-Industri-NGO-Kerajaan dalam memberikan pengalaman yang indah kepada kumpulan cacat penglihatan.
Katanya, kerjasama di antara universiti, pemain industry, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kerajaan dalam membantu golongan yang serba kekurangan amat dialu-alukan dan perlu dijadikan keutamaan bersama.
Chun Kit turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak TDP kerana telah menyediakan tapak di Geodesic Dome, KOMTAR supaya orang kurang upaya (OKU, penglihatan) agar dapat ‘melihat’ fenomena gerhana matahari yang berlaku hari ini melalui gelombang bunyi.
Tambahnya perkara tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mesra kepada semua golongan terutamanya OKU.
“Saya amat gembira dan berbangga untuk menyaksikan peluang yang diberi kepada individu OKU penglihatan untuk merasai sendiri pengalaman cerapan gerhana matahari melalui bunyi.
“Saya juga berharap melalui inisiatif seperti ini, Pulau Pinang mampu muncul sebagai negeri pertama yang mempunyai kemudahan-kemudahan awam mesra OKU (universal accessibility) di masa hadapan.” katanya lagi.