Inisiatif wujudkan pengawasan sejiran KADUN Seri Delima dipuji

Admin

SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif mewujudkan pengawasan sejiran di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima.

Program Pengawasan Sejiran atau ‘Neighborhood Watch’ adalah hasil cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid yang bertujuan mewujudkan persekitaran selamat.

“Program ini juga merupakan platform yang penting bagi meningkatkan pengetahuan komuniti setempat tentang talian-talian pihak berkuasa yang mereka boleh hubungi sekiranya berlaku apa-apa kecemasan.

“Selain menjadi ‘mata dan telinga’ polis, program ini juga mampu mengeratkan silaturahim antara masyarakat serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali gus memperkukuhkan keselamatan komuniti setempat,” ujarnya.

Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Perasmian Pengawasan Sejiran KADUN Seri Delima yang diadakan di Taman Kejiranan Karpal Singh dekat Lorong Delima 11 pada 2 April 2022.

 

KETUA Menteri turut meluangkan masa mengedarkan risalah pemberitahuan berhubung program pengawasan sejiran kepada penduduk lokal.

Turut berucap, Syerleena selaku wakil rakyat setempat; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong;  Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Pengerusi MPKK Island Glades, Teh Liang Teik.

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut memuji kesungguhan ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Glades.

“Sebagai mata dan telinga Kerajaan Negeri, MPKK Island Glades bukan sahaja amat peka dengan perkara berbangkit di kawasan komuniti setempat malah telah memainkan peranan yang cukup proaktif serta baik sekali.

“Ditambah pula dengan kawasan persekitaran yang berkepadatan tinggi terutamanya komuniti warga emas, saya percaya program ini adalah suatu keperluan tambahan demi menjamin keselamatan semua.

“Oleh itu, saya berharap penglibatan masyarakat dalam komuniti melalui program-program sebegini akan terus diperkasakan lagi agar kita dapat membanteras jenayah secara menyeluruh serta mewujudkan sebuah komuniti yang aman dan negeri yang selamat,” serunya.

Dalam pada itu, Syerleena ketika ditemui berkata bahawa aspek keselamatan sejiran telah menjadi keutamaannya sejak menjadi wakil rakyat di Seri Delima.

“(Dan) program pengawasan sejiran ini menjadi salah satu wadah bagi memastikan semua penduduk di Seri Delima khasnya warga emas selamat dan sejahtera,” katanya yang turut menempatkan tujuh papan tanda pengawasan sejiran di taman-taman perumahan sekitar Seri Delima.

 

SALAH seorang anggota polis yang hadir memberi penerangan berhubung inisiatif baharu berkaitan kepada penduduk lokal yang hadir.

Sementara itu, Soffian menzahirkan pujian atas inisiatif yang diambil oleh Syerleena dan MPKK Island Glades dalam memastikan keselamatan masyarakat setempat.

“Selaras dengan tema Sambutan Hari Polis Ke-215 iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, inisiatif berkaitan menzahirkan  kerjasama masyarakat setempat dan polis.

“Sebagai makluman semua, nisbah antara polis dan masyarakat menjadi cabaran kepada pihak polis dalam memastikan keselamatan masyarakat terjamin.

“Oleh itu, kerjasama masyarakat dalam memastikan keselamatan adalah amat diperlukan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak polis dalam melaporkan atau memberikan apa-apa jua maklumat berkaitan.

“Suka saya kongsikan di sini bahawa indeks jenayah bagi 100,000 per kapita penduduk di Pulau Pinang telah menunjukkan penurunan sebanyak  40 peratus berbanding tahun lepas.

“(Dan) pihak polis akan sentiasa komited memastikan jenayah di Pulau Pinang terus dikawal dan kadar jenayah dapat diturunkan,” ulasnya yang turut membuat perbandingan kekuatan anggota polis di daerah Timur Laut berbanding jumlah penduduk.

Malah, beliau juga berharap agar penduduk di KADUN Seri Delima dapat meneruskan momentum menitikberatkan aspek keselamatan dalam memastikan indeks jenayah terus kekal sifar.

“Sehingga semalam, bagi tahun 2022 indeks jenayah di KADUN Seri Delima adalah sifar dan saya harap ia dapat dikekalkan melalui inisiatif yang diperkenalkan ini.

“Malah, saya harap program ini dapat diperluaskan lagi ke KADUN lain di negeri ini,” sarannya.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Quah Boon Lim;  Penghulu Parlimen Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib dan beberapa anggota dari Balai Polis Jelutong antara yang hadir pada majlis berkaitan.

Dalam majlis sama, Kon Yeow bersama-sama jemputan kehormat lain turut menyempurnakan pemberian surat penghargaan PDRM kepada R. Vickneson atas sumbangan bekerjasama giat dengan pihak polis dan masyarakat setempat di KADUN Seri Delima.

 

R. Vickneson (tengah) menerima sijil penghargaan daripada pihak Polis DiRaja Malaysia baru-baru ini tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama-sama dif kehormat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar & Video : DARWINA MOHD. DAUD