GEORGE TOWN – Penang Green Event Incentive (PGEI) yang diperkenalkan pada awal tahun ini diharap menjadi galakan kepada penganjur acara untuk mempraktikkan langkah-langkah mampan serta pemerkasaan agenda hijau.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pemberian insentif berkenaan diperkenalkan sebagai mengiktiraf penganjur acara, sektor swasta, badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di atas usaha tambahan dalam mengurangkan impak alam sekitar.
Jelasnya, pemberian insentif berkenaan akan memfokuskan kepada pengurangan sisa (sisa pepejal dan sisa makanan) dan pemuliharaan air serta tenaga (dari bermula hingga tamat acara).
“Kerajaan Negeri berharap ia dapat menggalakkan semua pihak mengamalkan langkah-langkah mampan, mengurangkan sisa, jejak karbon dan jumlah tenaga yang digunakan semasa penganjuran sesuatu acara.
“Ucapan terima kasih perlu diberikan kepada Penang Green Council (PGC) di atas ketekunan dan usaha mereka membantu Kerajaan Negeri memperkasakan inisiatif agenda hijau sejak tahun 2011, juga kepada penaja serta pihak berkenaan yang sentiasa menyokong dalam menjadikan Pulau Pinang tempat terbaik untuk dihuni,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Hijau Pulau Pinang 2019 di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dan Pengurus Besar PGC, Josephine Tan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam melaksanakan agenda hijau, Pulau Pinang telah memasuki tahun ke-10 sejak inisiatif pertamanya berhubung kempen ‘Tiada Beg Plastik Percuma’ pada tahun 2019.
“Kerajaan Negeri perlu dan akan terus memberikan galakkan kepada semua pihak bagi memperkasakan inisiatif hijau sehingga ia berjaya dilaksanakan dan seterusnya membawa Pulau Pinang ke arah sebuah negeri hijau berserta pembangunan mampan,’’ jelasnya.
Serentak itu, majlis penyampaian anugerah turut disampaikan mengikut kategori iaitu pejabat hijau, sekolah dan prasekolah hijau, kewartawanan hijau serta persekitaran mampan.
Kategori Sekolah Hijau bagi sekolah rendah diungguli Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh yang berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 berserta sijil penghargaan. Manakala, Kategori Sekolah Menengah dinobatkan kepada Sekolah Menengah Convent Pulau Tikus yang turut menerima hadiah berbentuk sama.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar & video : AHMAD ADIL MUHAMAD