Insentif ‘IC design’ antara yang dibincang dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan II esok

Admin
img 20240620 wa0043

GEORGE TOWN – Insentif bagi meningkatkan ekosistem Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC design) dan Digital antara intipati perbincangan dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu perkara itu ketika ditanya mengenai pertemuan berkaitan pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Saya harap agar kita (Kerajaan Negeri) mendapat sokongan daripada Kementerian Kewangan bagi menyediakan insentif berkaitan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC design) dan Digital yang telah diumumkan sebelum ini.

“Difahamkan, Menteri Kewangan II juga akan memberikan maklum balas terkini berkaitan projek-projek yang telah dipohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pelan untuk mewujudkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital untuk menarik dan menempatkan projek berimpak tinggi.

Pembangunan taman itu bakal terdiri daripada dua fasa melibatkan 42.5 hektar di Taman Perindustrian Bayan Lepas.

Fasa pertama yang bermula pada Januari tahun lepas melibatkan pembinaan dua bangunan pejabat, Global Business Services (GBS) By The Sea dan GBS TechSpace dengan kos keseluruhan RM347 juta.

Fasa kedua pula melibatkan pembinaan GBS@Technoplex membabitkan kos kira-kira RM308 juta dan dijadualkan siap pada tahun 2027.

Selain insentif ‘IC design’, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengemukakan permohonan bagi cadangan pembinaan lebuh raya bertingkat dari Juru ke Sungai Dua serta Projek Air Perak – Pulau Pinang.

“Turut akan dibincangkan adalah berkaitan pengagihan 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip dari negeri Pulau Pinang sepertimana yang saya telah bangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Terdapat beberapa isu lain yang turut akan dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri dalam pertemuan esok,” ulasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Sementara itu, Aziz menyatakan bahawa PDC sentiasa mengamalkan tender terbuka untuk memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk mengambil bahagian dalam projek-projek Kerajaan Negeri.

“Kita bukan sahaja melihat dari segi penawaran harga tetapi juga pengalaman, kedudukan kewangan syarikat dan mempunyai prestasi terbaik terutama bagi projek-projek yang berimpak tinggi.

“Hal ini bagi memastikan projek tersebut tidak tergendala, tidak terjejas kemajuannya selain memastikan kualiti projek terjamin kerana produk-produk kita lebih untuk memenuhi kehendak syarikat-syarikat multinasional (MNC).

“Oleh itu, pemilihan kontraktor-kontraktor adalah agak ketat tetapi pada masa sama kita tetap menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk mengambil bahagian,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN