Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
SEBERANG JAYA – Seramai 320 atlet bakal mewakili Pulau Pinang dalam 23 sukan yang dipertandingkan dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-17 di Perlis dari 24 Mei sehingga 4 Jun ini.
Bersempena itu, sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri akan menyumbangkan insentif berbentuk kewangan kepada individu (atlet) atau pasukan yang berjaya membawa pulang pingat sama ada Emas, Perak atau Gangsa.
Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, jurulatih dan pengurus pasukan memainkan peranan penting dalam penyediaan para atlet bagi menghadapi SUKMA yang bakal berlangsung kurang daripada 50 hari berkenaan.
“Saya percaya, melalui komitmen tinggi dan dedikasi para jurulatih, pengurus pasukan dan kumpulan sokongan, Pulau Pinang dapat memberikan saingan yang hebat kepada negeri lain kelak,” katanya pada Majlis Countdown 50 Hari SUKMA di sini baru-baru ini.
Penganjuran majlis khas tersebut adalah untuk memberi motivasi dan membina momentum bagi kontinjen Pulau Pinang khususnya atlet-atlet muda yang bakal mewakili negeri ini.
Antara acara yang bakal dipertandingkan pada kejohanan kali ini ialah akuatik renang, akuatik terjun, angkat berat, badminton, bola sepak, berbasikal, golf, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, perahu layar, pencak silat, petanque, sepak takraw, skuasy, taekwando, tenpin boling, tenis, tinju dan wushu.
Chong Eng memberitahu, selepas berakhirnya Kem Atlet Fasa Akhir pada 18 Mei ini, para atlet mempunyai tempoh masa kurang seminggu sahaja untuk mengorak langkah ke temasya berkenaan.
“Saya berharap, dengan semangat yang ditunjukkan, para atlet akan pulang sebagai wira dan wirawati sukan negeri.
“Mewakili Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan lakukan yang terbaik dan semoga dapat membawa pulang Emas.