Insentif pendaftaran pelajar ke IPT bantu golongan B40 lanjutkan pengajian

Admin

JAWI – Seramai 149 pelajar dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini menerima Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi kemasukan Jun 2019 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, bantuan tersebut diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama atau diploma di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan juga politeknik tempatan.

Zulkifli Ibrahim (kiri sekali) menyampaikan cek bantuan kepada salah seorang pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.

“Pemberian insentif ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa serta pelajar khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya pada program berkaitan dekat Dewan Serbaguna Sungai jawi, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman serta Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya.

Mengulas lanjut, Ramasamy menegaskan bahawa Kerajaan Negeri ketika ini amat mementingkan bidang sains dan teknologi sebagai usaha mempersiapkan generasi muda dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (Pulau Pinang) untuk menganjurkan program-program berteraskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) kepada pelajar sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan juga sekolah-sekolah vernakular.

“Justeru, diharapkan lebih ramai pelajar memilih bidang sains dan teknologi serta mencapai prestasi cemerlang bukan sahaja di universiti awam atau swasta tetapi juga melalui politeknik serta institusi-institusi kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Chong Eng dalam ucapannya sebelum itu menekankan bahawa sebagai sebuah negeri yang tidak mempunyai kekayaan sumber asli, Pulau Pinang memilih untuk melabur dalam pembangunan modal insan.

“Kita (Kerajaan Negeri) hendak melabur untuk generasi muda yang berbakat tanpa mengira jantina, bangsa dan agama kerana yang paling penting adalah bakat,” ucapnya yang turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada penerima.

Pada kesempatan itu juga, Buletin Mutiara turut menemu bual beberapa orang penerima untuk melihat sejauh mana insentif tersebut membantu meringankan beban mereka.

NOR AIDATUL ALIZA MOHD. AZAMI.

NOR AIDATUL ALIZA MOHD. AZAMI, 18, berkata bantuan bernilai RM1,000 yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban ibu dan bapanya dalam menyediakan keperluan untuk memulakan pembelajaran di universiti kelak.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat bantuan ini dan saya akan gunakan wang ini untuk perkara yang sepatutnya.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri yang sangat memahami keperluan rakyat,” katanya yang berjaya menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah.

NUR IAN ILYANA NOOR ROSDI.

Nada sama disuarakan NUR IAN ILYANA NOOR ROSDI, 18, yang menyifatkan pemberian insentif berkenaan dapat membantu mengurangkan beban keluarganya.

“Saya gembira kerana dapat bantuan ini, sekurang-kurangnya saya boleh mengurangkan sedikit beban ibu bapa saya. Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri,” zahirnya.

MUHAMMAD YUSUF AFIF RASHHAN.

Bagi MUHAMMAD YUSUF AFIF RASHHAN, 18, pula bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang penerima insentif dan menyifatkan pemberian ikhlas daripada Kerajaan Negeri itu sebagai satu usaha yang baik dalam meringankan beban rakyat.

“Seperti yang Prof. (Ramasamy) sebutkan tadi, walaupun nilai bantuan tidak terlalu besar tetapi ia tetap dapat membantu melicinkan urusan pelajar untuk menyambung pelajaran masing-masing,” jelasnya yang akan menyambung pengajian dalam dalam bidang Kejuruteraan Awam di UiTM Permatang Pauh.

MOHD. FAKHRUL RADZI SABRI.

Seorang lagi penerima, MOHD. FAKHRUL RADZI SABRI, 21, memberitahu bahawa dia akan menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan dan membayar yuran pengajian dalam bidang Sains dan Matematik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

NUR ANIS FARISHA MAZLAN.

Begitu juga bagi NUR ANIS FARISHA MAZLAN, 18, setuju bahawa bantuan yang disumbangkan Kerajaan Negeri membolehkan dia membuat persiapan menyambung pelajaran di UiTM Machang, Kelantan tanpa terlalu membebankan ibu bapanya.

“Dengan adanya bantuan ini ibu bapa saya tidak perlu mengeluarkan terlalu banyak wang untuk perbelanjaan untuk ke universiti. Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha membantu golongan muda di negeri ini,” ulasnya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD