GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri yakin hasil dedikasi, semangat kental serta usaha gigih, kontinjen Pulau Pinang mampu merasai kejayaan unggul sebagaimana zaman kegemilangan sukan pada era 80-an dan 90-an.
Nada keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Insentif Kepada Pemenang-pemenang Pingat Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 sebentar tadi.
Katanya, untuk mencapai hasrat tersebut, semua pihak iaitu Kerajaan Negeri, Exco, barisan kepimpinan serta persatuan-persatuan sukan perlu membuat dasar dan persiapan lebih awal.
“Saya sudah mencadangkan kepada Exco berkaitan bahawa mungkin boleh dapatkan satu penaja untuk satu acara sukan bagi tempoh dua tahun.
“Dengan sumber yang ada ini, atlet-atlet bagi setiap sukan boleh berlatih dan dapatkan kemudahan terbaik bagi mempamerkan prestasi cemerlang.
“Sumber kewangan sememangnya diperlukan untuk pembangunan sukan, dan kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan Pulau Pinang tidak akan ketinggalan dalam bidang sukan serta berusaha untuk mencapai prestasi cemerlang pada masa akan datang,” tegas beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada majlis berkaitan di sini.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee turut berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Chef De’ Mission Kontinjen Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus, Frederick Tan Teck An (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Dr. Amar Pritpal Abdullah (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri).
Kontinjen Pulau Pinang pada SUKMA Perak lalu berjaya mencatat kejayaan membanggakan dengan meraih keseluruhan 32 pingat emas, 30 (perak) dan 30 (gangsa).
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang merupakan ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berpendapat bahawa bakat pelapis-pelapis muda perlu dicungkil dari peringkat sekolah rendah hingga ke (peringkat) seterusnya.
“Kita (Pulau Pinang) boleh mencapai kemenangan lebih besar bila tumpuan diberikan kepada semangat berpasukan, pengurusan dan mula mencungkil lebih banyak bakat pelapis muda dari sekarang,” ujarnya.
Tambah Kon Yeow, sebagai penghargaan Kerajaan Negeri kepada para atlet yang berjaya menjulang pingat, insentif kemenangan berbentuk kewangan telah pun dikaji semula.
“Walaupun duit bukan segalanya, tapi mungkin jika tiada duit tiada kemenangan.
“Justeru, pada malam ini sejumlah RM309,600 diperuntukan sebagai insentif kewangan kepada para atlet, jurulatih dan juga persatuan,” jelasnya sambil melaungkan sorakan Uuoka!! Everyone Fights, No One Quits! yang menjadi laungan semangat kepada semua atlet.
Dalam pada itu, Lip Chee ketika berucap membongkar formula 5 ‘K’ yang diamanahkan kepada semua atlet kontinjen negeri sebelum bertarung di temasya sukan tersebut.
Menurutnya, 5 ‘K’ yang perlu ada bagi setiap atlet adalah keinginan, keyakinan, ketenangan, kekuatan dan kemenangan.
“Tapi, Ketua Menteri telah tambah satu lagi ‘K’ iaitu kewangan yang anda (atlet) terima hari ini setelah bertungkus-lumus hadiahkan pingat untuk Pulau Pinang,” seloroh beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD