Insentif SAP2030 iktiraf kejayaan atlet di pentas antarabangsa

Admin
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mewujudkan skim sukan tambahan yang dikenali Skim Sukan Awam Penang2030 (SAP2030) bagi meraikan kecemerlangan dan pencapaian individu dari Pulau Pinang di pentas antarabangsa.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata langkah ini bagi membolehkan individu yang berjaya berdasarkan kriteria ditetapkan layak menerima imbuhan sebagaimana digariskan dalam Skim Insentif Kebangsaan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) sebelum ini.
“Pemberian insentif ini telah ditetapkan dan diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) pada 15 Jun 2022 dan disahkan pada 22 Jun 2022.
“Insentif ini diberikan apabila saya menerima banyak permohonan daripada individu yang mencipta kejayaan pada peringkat antarabangsa tetapi di luar temasya sukan berprestij, jadi tiada peruntukan atau peluang untuk menerima sebarang ganjaran atas kejayaan tersebut.
“Jadi sekiranya ada kejayaan sukan yang dikecapi bermula 1 Julai 2022 sama ada secara individu atau berkumpulan, mereka juga layak untuk membuat permohonan ini,” ujar Lip Chee dalam satu sidang media di Komtar hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Datuk Ooi Khon Yeong.
Difahamkan antara syarat utama permohonan adalah kejohanan disertai mempertandingkan sekurang-kuranya lima buah negara, lahir atau bermastautin di Pulau Pinang dan membawa nama negara melalui Pulau Pinang.
Borang permohonan dan pertanyaan lanjut boleh diperolehi di laman web MSNPP di www.msnpp.penang.gov.my.
Insentif ditawarkan bermula RM200 sehingga RM1,000 kepada individu yang berjaya melakar kejayaan pada kejohanan antarabangsa mengikut syarat-syarat ditetapkan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD