Insiden air tangki melimpah, lif di Komtar kembali beroperasi

Admin
whatsapp image 2024 08 01 at 19.22.06

 

GEORGE TOWN – Ketua Pegawai Operasi PDC Setia Urus Sdn. Bhd. (PDCSU), Loi Kai Horng memaklumkan bahawa hanya lif di Zon Tengah dan Zon Atas bangunan Komtar yang masih terjejas rentetan insiden limpahan air dari tangki simpanan air pencegahan kebakaran pada 26 Julai lalu.

Menurut beliau, kesemua lapan lif di Zon Bawah telah dipulihkan sepenuhnya manakala bagi Zon Tengah hanya tiga daripada enam lif dan empat daripada lapan lif (Zon Atas) dapat digunakan kini.

“Juruteknik PDCSU kini sedang membaik pulih baki lif yang masih tidak berfungsi, dan ada bahagian yang memerlukan alat gantian khas dari Jepun.

“Pada masa sama, pihak kami juga mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, bagi menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar tadi.

Kai Horng memberitahu bahawa terdapat kerosakan pada sensor sehingga mencetus kepada tekanan pam air.

“Susulan itu, terdapat bahagian lif yang fiusnya terbakar dan rosak serta perlu digantikan.

“Walaupun, semua lif yang berfungsi adalah selamat digunakan,” jelasnya.

Pada 26 Julai lalu, PDCSU memaklumkan bahawa sekitar jam 3.15 pagi, pengawal keselamatan bertugas mengesan limpahan air dari tangki di Tingkat 27.

Siasatan awal mendapati terdapat ‘over flow’ dari tangki air dan memasuki lif sehingga memaksa pihak pengurusan menghentikan operasi lif buat sementara waktu.

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR