KERJAYA sebagai penyelam bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula kepakaran serta pengetahuan dalam bidang berkaitan elektrikal, mekanikal dan penyelamatan amat diperlukan selain perlu memiliki jiwa yang kental.
Insiden kebocoran paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di dasar Sungai Perai baru-baru ini, menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh pasukan penyelam dalam memastikan sambungan bekalan air dapat dilakukan secepat mungkin kepada pengguna.
Penulis, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurufoto, AHMAD ADIL MUHAMAD, sempat menemu ramah dua penyelam komersial yang terlibat secara langsung dalam insiden kebocoran paip di dasar Sungai Perai pada 18 Disember 2023 (kali pertama) dan 12 Januari lalu (kali kedua).
MOHD. AMIRUL BADRI yang merupakan Pengarah Urusan ABMC Synergy Sdn. Bhd. dan Jurulatih Menyelam, Leftenan Muda SEW YONG CHING merupakan ‘hero’ di sebalik insiden tersebut.
Sebagai anak nelayan, kehidupan Mohd. Amirul sememangnya dekat dengan laut, apatah lagi, beliau dibesarkan di Lumut, Perak.
“Sejak kecil lagi, memang saya sangat dekat dengan laut, selalu tengok ragam nelayan alami enjin jatuh laut, masalah pukat dan sebagainya, dari situ timbul minat untuk membantu mereka dan ceburi bidang menyelam ini.
“Saya mula kerja-kerja selam ini masa umur 18 tahun lagi, sampai sekarang, tertubuhnya syarikat yang mana syarikat kami memang buat kerja secara percuma kalau melibatkan nelayan seperti enjin hilang, vesel terbalik dan sebagainya.
“Sampai sekarang memang syarikat kami menawarkan perkhidmatan tersebut kepada nelayan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Selain itu, perkhidmatan lain termasuklah mencuci tukun dan membersihkan ghost net atau jala-jala rosak yang berada di dasar laut juga kami lakukan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menyentuh mengenai cabaran ketika membaiki kerosakan paip di dasar Sungai Perai baru-baru ini, Mohd. Amirul memberitahu semua kerja dilaksanakan menggunakan ‘mata di jari’.
“Kekeruhan air sungai tersebut berada pada tahap sifar atau tidak mampu dilihat dengan mata kasar.
“Memang meraba-raba sajalah masa buat kerja-kerja mengapit semula paip tersebut.
“(Dan) dari awal kerja-kerja seperti penilaian kerosakan, pelan membaiki dan menurunkan kepingan besi untuk tutup kebocoran, sesuaikan kedudukan dan mengunci pengapit itu… memang dalam keadaan zero visibility.
“Untuk menurunkan kepingan itu sendiri ada kaedah-kaedah tersendiri, banyak libatkan pengiraan sebab kita tahu arus sungai juga kuat, jadi perlu ketelitian ketika melaksanakan kerja-kerja mengapit terbabit,” jelasnya yang turut terkejut dengan kewujudan buaya di sungai terbabit.
Bercerita mengenai proses pemasangan pengapit, Mohd. Amirul berkata ia memerlukan empat orang penyelam untuk melaksanakan tugasan itu dan teknik tersebut adalah cara yang cost effective selain cepat dan selamat.
“Untuk melakukan kerja-kerja melibatkan keadaan bawah permukaan air, seseorang itu perlu memiliki kelayakan minimum Commercial Divers Network (CDN) melibatkan air supply (pengudaraan), cutting (potong), welding (kimpal) dan lain-lain lagi.
“Bidang ini lain sikit, masuk sahaja terus kena jadi doktor pakar, CDN ini ramai sikit berbanding penyelam teknikal.
“Biasanya kerja di darat ini kita nampak, masuk dalam air, lain, kadang-kadang apa yang dibincang dekat atas, apabila turun ke bawah tidak sama.
“Jadi bayaran setimpal dengan risiko, nak kata kaya sangat itu tidaklah, bergantung kepada kepakaran, bayaran yang selalu ditawarkan adalah RM350 sehari sehingga RM700 sehari, bayaran hingga RM1,200 pun ada juga,” kata Mohd. Amirul yang turut mengambil berat aspek kesihatan diri dalam melakukan kerja-kerja menyelam.
Renjatan elektrik di bawah permukaan air antara situasi yang perlu didepani oleh penyelam yang melakukan kerja-kerja melibatkan kimpalan dan pemotongan besi.
Maka, atas sebab itu juga menjadikan aspek kesihatan amat penting dalam menentukan kemampuan seseorang untuk bekerja di bawah permukaan air pada kedalaman tertentu.
Sementara itu, bagi Yong Ching pula, beliau lebih memberi tumpuan terhadap aspek kejurulatihan menyelam.
“Seseorang yang ingin memiliki kelayakan CDN perlu terlebih dahulu mempunyai kelayakan skuba di perairan terbuka.
“Apa yang berlainan adalah menyelam menggunakan mulut untuk bernafas manakala di darat kita gunakan hidung, itu prinsip asas.
“Kalau skuba biasanya hanya empat hari boleh selesai, untuk CDN memerlukan 15 hari (untuk diberi kelayakan).
“Sungguhpun empat hari (skuba biasa), penyelam perlu lulus sekurang-kurangnya 17 daripada 24 disiplin yang dikenakan semasa kursus sebagai langkah keselamatan kepada penyelam,” maklum Yong Ching yang menawarkan 13 latihan membabitkan keselamatan.
Menurut Yon Ching, penting untuk setiap penyelam menjalankan pemeriksaan kesihatan secara tahunan bagi memastikan mereka cergas dan layak untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan.
“Antara disiplin lain termasuklah pemeriksaan kecergasan, pernafasan, imbangan tubuh badan dan lain-lain lagi yang mana termasuk dalam soal keselamatan nyawa yang menjadi keutamaan,” katanya menutup bicara.