Institusi masjid perlu lebih proaktif – YAIPP

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BALIK PULAU – Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Datuk Mansor Othman mahu kepemimpinan jawatankuasa qaryah  masjid-masjid di Pulau Pinang lebih proaktif dalam agenda memartabat ummah di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian pada Program Pengukuhan Jawatankuasa Qaryah Masjid 2013 Peringkat Barat Daya baru-baru ini.

“Masjid bukan tempat sembahyang semata-mata, tetapi, masjid perlu menjadi tempat untuk memperkasakan ummah secara proaktif.

“Institusi Masjid di Singapura dan Selatan Thailand umpamanya, bukan terhad sebagai tempat beribadah, tetapi, sudah mempunyai koperasi yang besar (serta) pusat perniagaan komersial untuk membangunkan potensi ummah,” ujar beliau di Pusat Latihan Zakat (PULAZA), Pantai Acheh di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man, Datuk Sazali Hussien (Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP), Mazlina Maidin (Penolong Pegawai Daerah Barat Daya), Muhd. Anuar Abd. Hamid (Pengurus Besar YIPP) turut hadir pada majlis perasmian bengkel yang berlangsung selama dua hari itu.

Dalam konteks Pulau Pinang, Mansor berkata, tadbir urus cekap Masjid Bertam Indah di bawah pengerusi qaryah, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang lengkap dengan gerakan koperasi serta aktiviti lain boleh dijadikan tanda aras ‘masjid madani’ contoh untuk masjid-masjid lain.

Sebelum itu, nada yang sama turut disampaikan oleh Mohd. Salleh yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Mohd. Salleh berkata, imej masjid sejak proses pelantikan ahli jawatankuasa qaryah baru-baru ini sedikit sebanyak mencalar imej Kerajaan Negeri dan Islam itu sendiri.

Justeru, katanya, semua kepemimpinan masjid diseru bersama-sama MAINPP untuk mereputasi semula imej masjid sebagai pusat penyatuan ummah.

“Kita anjur program seumpama ini sebagai bentuk pengukuhan kepimpinan ummah, selain, hubungan di antara kita itu (adalah) lebih penting.

“Program ini pertama kali kita buat di (daerah) ini selepas dilantik (menjadi Ahli jawatankuasa qaryah masjid), inshaAllah kita akan lanjutkan (penganjuran program ini) sampai ke Seberang Perai,” ujar beliau.