Institusi pendidikan Islam Pulau Pinang semasa pandemik terus diperkasakan, libat RM500,000 peruntukan tambahan – TKMI

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman semasa berucap dalam Sesi Libat Urus Exco & ADUN Pulau Pinang di sini pada petang ini.

GEORGE TOWN – Demi memperkasakan institusi-institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM500,000 bagi tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, peruntukan tambahan itu menyamai kira-kira 25 peratus berbanding RM2.99 juta angka asal yang diluluskan dalam Belanjawan 2020 pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 1 November 2019.

ADUN Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

Penjelasannya sekaligus menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor berhuhung usaha Kerajaan Negeri membantu institusi-institusi pendidikan Islam di negeri ini semasa pandemik COVID-19.

“Pemberian peruntukan bantuan kepada institusi pendidikan agama Islam tahun 2020 telah diberikan kepada 331 buah institusi pendidikan agama Islam berdaftar yang layak… berbanding tahun 2019, terdapat pertambahan sebanyak 26 buah institusi pendidikan agama Islam berdaftar tahun 2020 layak diberikan bantuan.

“(Dan) dengan kenaikan 25 peratus pertambahan peruntukan oleh Kerajaan Negeri (adalah menyamai angka) sebanyak RM500,000,” jelasnya semasa berucap dalam Sesi Libat Urus Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 di The Wembley – St. Giles Hotel dekat sini pada 30 Mac 2021.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut meluluskan peruntukan sejumlah RM661,900 bagi pemberian bantuan khas kewangan kali kedua untuk tahun 2020 kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA); guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK); guru Tadika Islam (TADIS); dan guru tahfiz.

“Ini jelas merupakan manifestasi kepada kesinambungan sebagai tanda pengiktirafan, penghargaan dan terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua institusi pendidikan agama Islam berdaftar atas segala sumbangan dan jasa dalam menyampaikan pendidikan agama Islam di sekolah agama negeri ini yang telah mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang pendidikan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pembangunan Usahawan.

Malah, ADUN Pinang Tunggal merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu juga memaklumkan bahawa Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kerajaan Negeri turut diberikan kepada 43 orang kakitangan SRAR, SMAR dan SABK dengan kadar RM300.00 seorang dan berjumlah RM12,900.00 keseluruhannya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menganjurkan sesi libat urus ini selama dua hari sejak semalam sebagai ganti persidangan DUN yang tidak dapat diadakan ekoran negara masih berada dalam tempoh Proklamasi Darurat kini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR