Integrasi #Penang2030, semangat Anak-Anak Malaysia, kukuhkan perpaduan nasional – Kon Yeow

BUKIT TAMBUN – Seawal jam 7 pagi lagi, walaupun selepas hujan, kira-kira 4,000 peserta berbilang kaum semangat menyertai program berjalan kaki sempena sambutan Hari Malaysia di dataran utama EcoWorld Horizan dekan Bandar Cassia, Batu Kawan.

Masing-masing memakai baju T dengan mesej tanda pagar #JOMKEHADAPAN, lengkap membawa belon serta bendera dan sepanduk “#AnakAnak Malaysia Walk Penang 2018.

Sementara itu, di kawasan parkir berhampiran bangunan utama di sini, berbelas kendera saji (food truck) turut dibuka, untuk dikunjungi hadirin selepas selesai acara jalan ria tersebut.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Penang2030 iaitu wawasan kemajuan Pulau Pinang dalam tempoh 12 tahun dari sekarang dapatlah diintegrasi dengan semangat anak-anak Malaysia di negeri ini.

“Saya berharap semua pihak memainkan peranan bersama-sama dalam memacu Pulau Pinang menuju ke (tahun) 2030.

“Dengan semangat anak-anak Malaysia yang ditonjolkan, saya juga berharap semangat ini dapat diintegrasikan dengan Penang2030,” jelas Kon Yeow sebelum menyempurnakan acara pelepasan peserta pada jam 8 pagi, 16 September 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur; Tan Sri Lee Lam Thye yang juga Pengerusi Yayasan Eco World turut berucap dalam acara tahunan itu.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengerusi Eco World Development Group? Tan Sri Liew Kee Sin; dan Ketua Pegawai Operasi Eco World Development Group Berhad, Datuk S. Rajoo.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri memberitahu, Penang2030 memberi tumpuan pada pembangunan elemen kekeluargaan di samping memacu Pulau Pinang ke arah negeri pintar, bersih dan hijau.

Difahamkan, firma hartanah EcoWorld dengan sokongan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak tahun 2015 menganjurkan sambutan Hari Malaysia di sini, sempena memperingati penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 yang membawa pada penubuhan Malaysia dahulu.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: WONG BOON FOOI

Video: AHMAD ADIL MUHAMAD