investPenang lanjut tempoh sewa pusat PKS lapan tahun

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT JAMBUL –Tempoh sewaan di Pusat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Fasa Empat dekat Taman Perindustrian Bayan Lepas di sini dilanjutkan dari lima tahun sehingga ke lapan tahun tempoh sewaan, kata Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian.

Beliau berkata, pihaknya berharap penyewa, yakni usahawan PKS dapat memanfaatkan tempoh itu berbanding masa lima tahun yang ditawarkan sebelum ini demi memajukan perniagaan masing-masing.

“Tempoh lima tahun terlalu singkat untuk mereka (penyewa) menjalankan kerja – kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan, kini, tempoh baru diperkenalkan adalah berdasarkan case-to-case basis, bergantung pada keperluan firma,” katanya pada majlis Penang SME Seminar 2013 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, langkah itu diperkenalkan demi mengurangkan kos operasi PKS di Pulau Pinang.

“Kami bukan sahaja menawarkan lot atau ruang untuk memulakan perniagaan, malah, memberi nasihat perniagaan juga.

“Kadar sewa bagi tempoh tiga tahun pertama adalah di bawah harga pasaran,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk menyediakan lot-lot sewaan yang lebih kecil bagi membolehkan usahawan PKS mempunyai lebih banyak pilihan.

Pusat PKS bernilai RM40 juta yang terdiri daripada bangunan empat tingkat dan 13 lot perniagaan yang dibina atas tanah berkeluasan
160,000 kaki persegi.

Lee Lian menjelaskan, pemajuan projek itu bertujuan membantu, memberi tunjuk ajar dan memupuk inovasi PKS dalam kalangan usahawan dengan menawarkan harga sewaan lot yang kompetitif.

Selain itu, tambahnya, Pusat PKS diharap menjadi medan untuk usahawan PKS mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di samping mempromosikan perindustrian PKS ini di Pulau Pinang.

Sebelum itu, Guan Eng turut melahirkan harapan bahawa industri PKS di negeri ini dapat dikembangkan melalui inisiatif yang dilakukan oleh investPenang.

Menurut Laporan Tahunan 2012 SME Corp. yang dipetik, beliau berkata, industri PKS menguasai 75 peratus daripada keseluruhan industri di Malaysia.

“Daripada peratusan itu, sejumlah 40,824 usahawan PKS Pulau Pinang mewakili enam peratus jumlah keseluruhan usahawan PKS di Malaysia.

“PKS dianggap sebagai tulang belakang terutama dalam industri pembuatan di Pulau Pinang,” katanya.