IP sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dunia – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: LAW SUUN TING

 

BATU FERRINGHI – Kesedaran mengenai kepentingan harta intelek (IP) semakin meningkat dalam kalangan penggiat industri dengan kepelbagaian ruang dan peluang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Pulau Pinang kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pelbagai pendekatan telah dianjurkan dalam memberi pengetahuan dan pendedahan kepada penggiat industri termasuk masyarakat tempatan tentang kepentingan IP.

Tambahnya, penggiat industri terutamanya perlu memohon dan mendaftar cap dagangan, paten, pembaharuan utiliti dan reka bentuk perindustrian agar hasil keluaran syarikat dapat dipelihara daripada sebarang penciplakan dan masingmasing memperoleh hak eksklusif pengkomersilan.

“Kepentingan IP bukan sahaja menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dunia, tetapi juga meningkatkan daya saing, kreativiti dan inovasi untuk perusahaan komersial serta penggiat industri.

“IP juga merupakan sumber kekayaan baharu yang dapat menjana pulangan tinggi kerana pemilik IP mempunyai hak monopoli untuk mengawal penjualan, pembuatan dan pengeksportan ke luar negara.

“Demi masa depan ke arah sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar, kita (Kerajaan Negeri) akan menggembleng tenaga membangunkan sepenuhnya kepentingan IP ini,” ucapnya pada perasmian Mesyuarat Majlis Asian Patent Attorneys Association (APAA) Ke-63 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan, Y.A.B. Tan Sri Hasan Lah, Hakim Mahkamah Tinggi England dan Wales, Sir Colin Ian Birss, wakil World Intellectual Property Organization (WIPO), Erik Wilbers, Presiden APAA, C.K. Kwong, Presiden Kumpulan APAA Malaysia, Micheal Soo, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bersama APAA, Linda Wang dan mantan Presiden APAA, Kiyoshi Asamura.

Seramai 1,460 delegasi dari 22 negara Asia dan 54 negara bukan Asia yang terdiri daripada pengamal IP, peguam dan penggiat industri hadir pada mesyuarat yang julung kali dianjurkan di Pulau Pinang.

Selain membincangkan perihal IP, hak cipta, reka bentuk industri, tanda dagangan, paten, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu, turut dikupas adalah perkembangan IP, penguatkuasaan hak IP serta perkongsian pengalaman antara peserta mesyuarat.

Mesyuarat Majlis APAA seterusnya dijadualkan pada 13 November 2015 di Okinawa, Jepun sebelum ke Bali, Indonesia pada 8 Oktober 2016.