iQPR ciptaan anak negeri baiki kualiti air sungai

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Menerusi perjanjian persefahaman yang dimeterai, Kerajaan Negeri bakal menggunakan aplikasi teknologi Infinitesimal Quantum Persistent Reflection (iQPR) yang dibangunkan seorang anak Pulau Pinang bagi memperbaiki kualiti air sungai di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dalam usaha menjadi sebuah negeri yang bersih, hijau dan selamat serta memastikan kelestarian hidup rakyatnya, Kerajaan Negeri menggiatkan usaha dalam penjenamaan semula sungai-sungai di Pulau Pinang.

“Sebagai permulaan, kita (Kerajaan Negeri) menawarkan kontrak selama tiga tahun bernilai RM5.8 juta kepada Infinite Acquisitions Sdn. Bhd. dan rakan kongsinya STS Solutions Sdn. Bhd. untuk terus merawat dan mengekalkan kualiti air sungai di Pulau Pinang pada tahap Kelas II menggunakan teknologi iQPR,” ujarnya ketika hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Rawatan Sungai Pinang antara Kerajaan Negeri dengan Infinite Acquisitions Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Kapten (B) Ir. Anuar Yahya dan Setiausaha Politik kepada Y.A.B.
Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

iQPR adalah teknologi hijau menggunakan air mineral semula jadi sebagai asas, di mana bahan kimia atau mikrob tidak digunakan digabungkan dengan asas fizik kuantum, proses berteknologi tinggi bagi menghasilkan banyak rumusan air berfungsi yang boleh menangani pelbagai masalah pencemaran di dalam air dan tanah.

Dalam erti kata lain, teknologi iQPR adalah teknologi radiasi nonconventional dan dikatakan mampu mengubah struktur molekul tanpa memberi kesan buruk kepada manusia. Plat bercorak geometri 3-D
khas iQPR adalah kompenan penting bagi menjana tindak balas ke atasmicro-fission air dengan pengawalan tindak balas yang konsisten.

Menurut Guan Eng, Sungai Pinang adalah salah satu daripada tujuh sungai paling tercemar di Malaysia iaitu Kelas IV (sangat kotor) dan sejak 2010, dengan penggunaan teknologi iQPR, kualiti Sungai Pinang kini berada pada
Kelas II (bersih).

“Teknolgi iQPR ini merupakan salah satu projek perintis yang dijalankan oleh JPS Pulau Pinang di bawah program ‘Satu Negeri, Satu Sungai’.

“Melalui projek ini, didapati bahawa kualiti air yang tercemar bertambah baik dengan ketara, enapcemar hitam dan bau busuk juga dapat dihapuskan,” jelas beliau.

Tambahnya, penggunaan teknologi tersebut adalah mudah dan kos efektif serta tidak memerlukan perubahan infrastruktur yang mahal.

“Walaupun Kerajaan Negeri komited untuk membersihkan sungai dan meningkatkan kualiti alam sekitar, kerjasama daripada semua pihak adalah penting untuk memastikan kejayaan yang berterusan.

“Hentikan pembuangan sampah sewenang-wenangnya ke dalam sungai, ubah tabiat tidak bertanggungjawab serta cintai sungai kita,” serunya yang berharap rakyat Pulau Pinang mengambil berat soal kebersihan dan kualiti alam sekitar.

Selain Sungai Pinang sepanjang 3.6 kilometer (km), aplikasi teknologi iQPR turut mencakupi beberapa batang sungai lain termasuk Sungai Jelutong (2km), Sungai Mati (1km) dan parit Kampung Jawa (2km).