Islam tidak halang penggunaan sains dan teknologi – Dr. Mohamad

Admin

BATU UBAN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menyifatkan pentingnya Al-Quran sebagai sumber keintelektualan dan kerohanian dalam Islam.

 

 

Beliau berkata, kitab suci umat Islam itu bukan sahaja menjadi prinsip keagamaan dan kerohanian tetapi juga sebagai panduan bagi cabang-cabang ilmu yang lain seperti sains dan teknologi.

 

 

“Hubungan antara teknologi dan agama diibaratkan sebagai hubungan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

 

 

“Seperti yang kita ketahui, Islam tidak menghalang penggunaan sains dan teknologi dalam kehidupan.

 

 

“Melalui media dan teknologi, Al- Quran dapat dipersembahkan kepada khalayak dengan pelbagai bentuk yang menarik seperti aplikasi dan sebagainya,” ujar Mohamad pada Seminar Antarabangsa Al-Quran dan Teknologi (I-Qtech) dekat Bukit Jambul di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), Wan Nazjmi Mohamed Fisol serta para peserta seminar dari dalam dan luar negara.

 

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, dalam konteks keperluan umat Islam masa kini, Al-Quran boleh didapati dalam pelbagai platform aplikasi dan produk digital yang memudahkan akses dan pembelajaran walau di mana sahaja mereka berada dan pembelajaran dalam talian semakin mendapat tempat melalui agensi kerajaan mahupun swasta.

 

 

 

“Dalam konteks Gagasan Malaysia Madani, pengenalan penggunaan Al Quran dan teknologi merupakan nilai kreativiti yang ditunjangi aspek daya cipta.

 

 

“ Daya cipta akan mewujudkan proses perubahan yang berterusan yang mendakap dan memperkasa kreativiti masyarakat. Kepelbagaian platform yang wujud kini bagi penggunaan Al Quran dan teknologi oleh masyarakat, merupakan titik tolak kepada permulaan daya cipta kerakyatan,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN