Istimewa kerisik tanpa cap Penaga

Oleh : YAP LEE YING
Gambar : ALISSALA THIAN

PENGUSAHA kerisik adalah tidak terbilang jumlahnya, namun, apa yang pasti adalah kualitinya berbeza antara satu sama lain.

Ruangan Jalan-jalan Buletin Mutiara (BM) kali ini berkesempatan menemurah pengeluar kerisik terkemuka ‘tanpa cap’ di Pulau Mertajam, Penaga, Seberang Perai Utara (SPU).

Lebih selesa dengan panggilan Pak Lang dan Mak Lang, perusahaan tersebut diusahakan pasangan suami isteri, Mohd. Akhir Ibrahim, 68, dan Norsiah Aziz, 62.

Bagi Mak Lang, kerisik keluarannya adalah asli dan paling istimewa adalah ia ‘tiada cap’ (jenama pengeluar).
“Semua produk dibungkus di dalam bekas-bekas tanpa melekatkan sebarang maklumat pihak pengeluar mahupun nama syarikat.
“Memang itu keistimewaan kerisik kami,’’ jelas Mak Lang ringkas kepada BM ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.

Menurut Mak Lang, dengan menggunakan kelapa kampung tanpa sebarang campuran bahan lain seperti hampasnya, kerisik keluaran beliau berperisa manis sedikit dan dapat disimpan selama tiga bulan lamanya. Malah, sekiranya ia disimpan di dalam peti ais, ia dapat bertahan sehingga empat bulan.

Asasnya, kerisik diperbuat 100 peratus daripada kelapa. Kelapa-kelapa yang dikupas kemudian dikisar sebelum dijemur selama lima jam. Selepas itu, ia digoreng selama setengah jam dan dimasukkan ke dalam mesin kerisik untuk proses akhir. Selesai proses terbabit, kelapa bertukar menjadi pekat keperang-perangan berserta lapisan minyak yang amat harum baunya.

Kepada mereka yang tidak mengetahui apakah itu kerisik, bahan tersebut bertindak sebagai rempah tambahan bagi menyedapkan masakan gulai daging dan kerabu terutamanya. Pada masa sama, ia turut memekatkan sajian masakan terbabit.
Mak Lang memberitahu, penglibatan beliau dalam bidang perusahaan tersebut sejak tujuh tahun lalu adalah kerana tidak ingin membazirkan buah-buah kelapa yang terbiar di halaman rumah.

“Buah kelapa memang banyak dan hanya dibiarkan tumbuh sahaja kat rumah. Melihat keadaan tersebut, Mak Lang dan Pak Lang pi tanya kat kedai-kedai sama ada dia orang nak tak kerisik.

“Selepas memperoleh maklum balas positif daripada tauke-tauke kedai, kami beli sebuah mesin pengisar sebagai permulaan,’’ jelasnya.
Bermula dengan 3 kilogram kerisik yang dihasilkan setiap hari sebelum ini, penghasilkan kerisik Mak Lang bertambah sebanyak 1 – 15 OktOber 2012 tiga kali ganda kini.

Malah, sebahagian besar kerisik-kerisik tersebut telah siap ditempah oleh peniaga-peniaga dan juga orang perseorangan dari Penaga, Kepala Batas dan juga Sungai Petani, Kedah.

Bagi Mak Lang, cabaran utama perusahaan beliau adalah cuaca. Sekiranya hujan dan keadaan cuaca lembab, kelapa tidak dapat dijemur dan dikisar dengan sempurna.

Adalah menjadi harapan Mak Lang dan Pak Lang untuk mengeksport produk keluaran mereka ke luar negara. Pada masa sama, pasangan dikurniakan lima cahaya mata tersebut turut berharap memperoleh bantuan mesin pengering daripada pihak-pihak tertentu bagi menambah jumlah pengeluaran sedia ada terutamanya menjelang musim hujan.

Tidak dinafikan, faktor usia kadang-kala membataskan penghasilan produk berkenaan. Tambahan pula, sejak sebulan lalu, Pak Lang secara tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar sehingga menjejaskan penglihatan beliau.

Bagaimanapun, bagi Mak Lang, beliau tetap komited untuk memulakan rutin hariannya seawal 7.30 pagi sehingga lewat malam.

2

KELAPA-kelapa kampung yang digunakan.

3

PAK Lang dan Mak Lang dengan produk hasil
keluaran mereka.

5

KERISIK siap dibungkus untuk dipasarkan.