PINANG TUNGGAL – Masalah yang dihadapi oleh kira-kira 100 buah rumah yang sering dilanda banjir lumpur bakal selesai apabila kerja-kerja mendalamkan parit sedang dilakukan atas arahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, masalah mula timbul apabila kerja-kerja pembinaan ‘double track’ dijalankan oleh MMC Gamuda di Kampung Kubang Menerong, Jalan Kubang Menerong yang menyebabkan saluran parit tersumbat dan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.
“Kerajaan Negeri serius dan komited untuk memajukan kawasan ini walaupun di bawah jajahan pembangkang. Itu bukan penghalang untuk kita (Kerajaan Negeri) membawa perubahan di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) ini,” tambah Ketua Menteri pada program Ketua Menteri Bersama Rakyat – SPU di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri telah mengadakan lawatan sehari bersama rakyat bagi meninjau dan mendalami masalah penduduk di kawasan SPU.
Turut sama menyertai rombongan ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim, EXCO Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.