Isu berbangkit penduduk Taman Belibis diberi perhatian

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan hari ini memanfaatkan masa hujung minggu yang terluang untuk bertemu dengan rakyat di Taman Belibis, dekat sini bagi melihat keperluan dan mendengar permasalahan pada peringkat komuniti.

 

 

Bertempat di perkarangan Surau Al-Syakirin, Kon Yeow yang ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik meluangkan masa kira-kira dua jam lebih dalam sesi soal jawab di samping memberi perhatian terhadap kebimbangan penduduk di sini.

 

 

Menurut Kon Yeow cabaran terbesar dalam membantu mensejahterakan rakyat adalah peruntukan yang agak terhad sama ada melalui Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

 

 

“Maka, dalam menangani isu-isu dibangkitkan adakalanya kita (wakil rakyat) perlu halakan permasalahan tersebut sama ada kepada pejabat daerah, jabatan-jabatan berkaitan atau pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu berbangkit.

 

 

“Pada masa sama, pada peringkat Kerajaan Negeri juga akan melihat kepada keutamaan dan betapa kritikalnya sesuatu isu bagi membolehkan perancangan dibuat yang mana salah satunya menghulurkan bantuan secara berperingkat atau berfasa,” ujarnya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Penduduk Setempat di sini.

 

Hadri sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Ampat, Tang Teong Hoe dan Pengerusi Surau Al-Syakirin, Ishak Din.

 

 

Selain isu kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar dan isu setempat, isu mengenai kehadiran warga asing, kekangan ruang parkir dan masalah denggi yang menjadi kebimbangan penduduk turut diketengahkan pada pertemuan tersebut.

 

Usai beramah-mesra, Teong Hoe dan Ishak yang mewakili penduduk setempat menyerahkan beberapa dokumen permohonan projek secara bertulis termasuk menyenaraikan keperluan lain demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Taman Belibis, khasnya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS