Isu jalan sambungan di Bandar Tasek Mutiara diberi perhatian serius

Admin

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi perhatian serius terhadap isu pembinaan jalan yang menyambungkan Bandar Tasek Mutiara dan Jalan Hijauan Hills 1 demi manfaat kira-kira 7,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bagi melaksanakan pembinaan jalan sambungan sepanjang 380 meter (m) tersebut, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengambil tanah daripada pihak pemaju.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sedar tentang masalah sambungan jalan dari Bandar Tasek Mutiara ke projek perumahan di Jalan Hijauan Hill yang menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan jauh dan sempit selain kurang selamat.

“Disebabkan pembangunan yang berlaku di kedua-dua tempat ini dilaksanakan oleh dua pemaju yang berbeza, maka tidak ada koordinasi di antara kedua-dua pihak mengenai keperluan pembinaan jalan ini.

“Walaupun mengikut pelan pembangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menunjukkan terdapat keperluan untuk pembinaan sebuah jalan untuk menyambungkan kedua-dua kawasan ini.

“Namun, disebabkan ada pemaju yang enggan melaksanakan projek tersebut maka Kerajaan Negeri terpaksa membuat pengambilan tanah bagi membolehkan projek pembinaan jalan sambungan ini dapat dijalankan,” katanya semasa berucap pada program pertemuan dengan penduduk Kampung Kepala Gajah dekat Pusat Latihan dan Pameran Upcycle, Taman Puteri Gunung di sini sebentar tadi.

Hadir sama, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; calon ADUN Sungai Bakap, Nurhidayah Che Ros; mantan ADUN Sungai Bakap, Dato’ Maktar Shapee serta wakil-wakil penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa disebabkan keengganan pihak pemaju menyerahkan tanah diperlukan bagi projek berkaitan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa membawa masalah tersebut ke mahkamah.

“Disebabkan pihak pemaju enggan menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri, maka kita terpaksa menggunakan akta pengambilan tanah untuk mengambil tanah ini daripada pihak pemaju dan membayar pampasan kepada mereka,” katanya.

Dalam isu berkaitan, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sedang berusaha melaksanakan beberapa projek penguraian trafik di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) yang semakin meruncing.

“Ada beberapa rancangan sedang diusahakan dan kita berharap sedikit masa lagi masalah kesesakan lalu lintas di SPS serta SPT dapat diselesaikan,” katanya