Isu kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap dibincang dalam mesyuarat minggu ini – Kon Yeow

Admin
whatsapp image 2024 05 27 at 14.23.34

GEORGE TOWN – Satu mesyuarat dijadualkan berlangsung pada minggu ini bagi membincangkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu akan menyentuh mengenai persiapan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

“Saya dimaklumkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang sudah mula berbincang mengenai persiapan PRK, namun belum ada keputusan rasmi dibuat.

“Kami akan mengadakan mesyuarat minggu ini untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kepada pemberita ketika ditemui dekat bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin Pakatan Harapan akan memenangi kerusi DUN tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa peluang untuk menang tetap ada.

“Saya difahamkan bahawa rakyat berpuas hati dengan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan ini akan memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

Menyentuh mengenai calon Kerajaan Perpaduan, beliau berkata bahawa parti yang bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini akan diberi keutamaan.

Dalam pada itu, notis kekosongan kerusi DUN N20 Sungai Bakap telah diserahkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Dr. Nazariah Abdul Zalim sebentar tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa turut mengiringi Choo Kiang ketika penyerahan tersebut dibuat.

“Perkara ini adalah selaras dengan Perlembagaan negeri Pulau Pinang yang mana kita perlu buat notis ini kepada SPR supaya pihak berkaitan (SPR) boleh jalankan tindakan susulan ini.

“Sebelum ini, kita menerima berita sedih apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff atau lebih mesra dengan panggilan ‘Abang Zam’ meninggal dunia pada 24 Mei lalu,” ujar Choo Kiang kepada pemberita tengah hari tadi.

Menyorot keperibadian Allahyarham, Choo Kiang menyatakan Nor Zamri adalah seorang yang dihormati dan disayangi oleh rakan-rakan politik serta rakyat di kawasannya.

Pada PRN ke-15 lalu, Nor Zamri (Perikatan Nasional) menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN