Isu kesesakan lalu lintas di Seberang Perai perlu ditangani segera, kata ADUN

Admin
0376c46f 5057 4f5f 8366 11de02e29292

GEORGE TOWN – Isu kesesakan lalu lintas di kawasan Seberang Perai perlu ditangani segera, seru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Beliau berkata, kesesakan lalu lintas terutamanya Lebuhraya Utara Selatan dari Sungai Dua ke Jambatan Pulau Pinang pada waktu puncak pagi dan dari Bukit Tambun ke Sungai Dua pada waktu puncak petang berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, keadaan yang sama turut berlaku di Jalan Persekutuan dari Bukit Tengah ke Nibong Tebal, Jalan Batu Kawan, Jalan Bukit Tambun dan Jalan Perusahaan Valdor.

“Perdana Menteri, Menteri Ekonomi, Menteri Kerja Raya, Ketua Menteri dan ADUN Tanjung Bungah, tolonglah selesaikan isu ini.

“Penaiktarafan lalu lintas ini perlu dilaksanakan serta-merta dan perancangan sistem pengangkutan awam di Seberang Perai juga wajib dimulakan sekarang,” tegasnya semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat bangunan Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Choon Aik turut mezahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi Projek Air Perak Pulau Pinang.

“Pelaksanaan projek ini bagi membolehkan air terawat dapat dibekalkan dari Sungai Perak ke Pulau Pinang bagi mengatasi masalah bekalan air di Pulau Pinang menjelang 2030.

“Walau bagaimanapun, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu bertindak lebih proaktif untuk mempercepatkan pelaksanaan dua projek membabitkan Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Kerian bagi menangani isu bekalan air di Seberang Perai Selatan (SPS) yang akan memanfaatkan lebih 55,000 pengguna di Seberang Perai,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan supaya PBAPP mengkaji semula kadar caj air bagi pengguna domestik di negeri ini.

“Kenaikan bil air telah menimbulkan kemarahan penduduk Pulau Pinang.

“Tambahan pula, penduduk Seberang Perai Selatan terutamanya di DUN Sungai Bakap dan daerah Barat Daya terutamanya DUN Bayan Lepas turut menghadapi gangguan bekalan air serta masalah tekanan air rendah di kebanyakan tempat.

“Walaupun PBA berkali-kali memberi penjelasan tentang kenaikan air, saya masih berpandangan kenaikan bil sehingga mencecah peningkatan 181 peratus untuk peringkat pertama, 154 peratus (peringkat kedua) dan 204 peratus untuk peringkat ketiga adalah membebankan.

“Justeru, saya memohon jasa baik PBAPP untuk menurunkan caj kadar bagi peringkat pertama daripada 62 sen kepada 33 sen dan peringkat seterusnya daripada RM1.17 kepada 92 sen.

“Saya mengesyorkan kadar caj sedemikian adalah kerana penggunaan air untuk 70m³ pertama merupakan penggunaan asas untuk setiap rumah dan mana-mana keluarga menggunakan air lebih daripada 70m³, perlu menanggung kadar caj maksimum iaitu RM1.07 per m³,” katanya.

Choon Aik juga menggesa PBAPP mengeluarkan bil secara bulanan agar tidak membebankan rakyat.

“Saya memahami bahawa PBAPP mengeluarkan sebahagian bil airnya secara dwibulanan sejak dikorporatkan pada Mac 1999 atas pertimbangan kecekapan kos, namun saya sekali lagi menyeru PBAPP mengkaji semula pengeluaran bil secara bulanan.

“Kalau ingin mengambil kira kecekapan kos, tibalah masa untuk PBAPP membuat e-billing sejajar dasar “paperless” Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” cadang beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR