Isu pembesar suara azan surau Tri Pinnacle selesai

Admin

BAGAN JERMAL – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menegaskan bahawa isu pembesar suara azan surau di pangsapuri Tri Pinnacle, Tanjung Tokong selesai.

Perkara itu, katanya diselesaikan dengan baik oleh semua pihak sama ada dari pihak pengurusan mahupun pihak surau terlibat.

“Bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera, Pejabat Agama Daerah Timur Laut (DTL) telah mengadakan sebuah mesyuarat pada 10 Mei lalu yang melibatkan JMB (Badan Pengurusan Bersama) Tri Pinnacle serta Ahli Jawatankuasa Surau Tri Pinnacle bagi menjernihkan kekeliruan yang timbul di antara kedua-dua belah pihak.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa isu pembesar suara azan telahpun diselesaikan dengan solusi yang terbaik manakala isu-isu lain juga hampir diselesaikan sepenuhnya melalui perbincangan,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

 

IR. Ahmad Zakiyuddin mengulas isu yang tular dekat Tri Pinnacle baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, menzahirkan rasa kesal apabila pihak MAINPP mendapati bahawa wujud sebuah video yang dikatakan sengaja ditularkan sehingga menimbulkan kekeliruan tersebut.

“Video yang ditukarkan itu juga tidak menampakkan kejujuran dan dikeluarkan dengan niat yang tidak baik walau apa sekalipun tujuannya.

“Tindakan individu terbabit telah mengakibatkan timbulnya perasaan kebencian dan ketegangan bukan sahaja di antara kaum, malahan juga agama.

“Oleh itu, diharapkan semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial dan berpada-pada dalam berpolitik.

“Jika mengeluarkan konten untuk membangunkan masyarakat dan mensejahterakan rakyat maka ia sangat digalakkan,” jelasnya.

Malah, Ahmad Zakiyuddin turut meminta supaya pemilik akaun media sosial untuk membuat permohonan maaf bagi menjernihkan persepsi negatif yang tersebar seluruh negara dan mahu video tersebut dipadamkan.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara difahamkan bahawa pihak JMB Tri Pinnacle juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam terutamanya terhadap penduduk di (Tri Pinnacle) semasa sesi sidang media yang diadakan lewat petang tadi.

 

ANTARA yang turut hadir sesi sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Setiausaha (Pengurusan) MAINPP, Dato’ Samsudin Bakar; Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), Alex Low serta Pengerusi Surau Tri Pinnacle, Muhammad Nasir Abdul Majid.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR