GEORGE TOWN – Pihak yang meledakkan isu mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kembali menjawat jawatan tersebut pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) berkemungkinan tidak memahami peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perkara 7 Fasal 2 (a) (ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang jelas memperuntukan bahawa seorang Ketua Menteri hendaklah dilantik dari kalangan orang yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal.
“Saya tidak pasti siapa yang memainkan isu ini, tetapi ia memberi suatu kesempatan juga untuk terangkan perkara (berkaitan yang diperuntukan dalam Perlembagaan Negeri) ini.
“Kalau ada pihak yang cuba memainkan (isu Guan Eng kembali sebagai Ketua Menteri pasca PRN) ini pun tidak berapa faham mengenai peruntukan jelas dalam Perlembagaan Negeri, dengan penjelasan ini, mungkin orang yang cuba memainkan isu ini boleh menerima pendidikan politik,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 5 Mei 2023.
Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sekali lagi mengulangi komitmen untuk memastikan dwigabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat rakyat dalam PRN akan datang.
Semalam, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dan Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP) menzahirkan rasa syukur dengan kenyataan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menafikan percubaan menukar Ketua Menteri pasca PRN.
Rabu lepas, sebuah portal atas talian antara lain melaporkan bahawa terdapat tiga ADUN terlibat dalam usaha menukar Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pasca PRN nanti.
Menurut sumber portal berita itu lagi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan serta khabar angin wujud langkah politik dalam parti supaya Guan Eng dapat kembali ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING