Isu penyelarasan gaji penjawat awam negeri akan dibincangkan – Ketua Menteri

Admin
3f1dfdd1 7da0 4f6c 9270 333a3a3ff1bb

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa penyelarasan gaji penjawat awam akan diteliti semula menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soalan pemberita berhubung pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaan pelarasan gaji secara secara berfasa mulai 1 Disember 2024 pagi tadi.

Menurut Kon Yeow, penyelasaran gaji bagi penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu melihat impak kedudukan kewangan negeri terlebih dahulu.

“Isu pelarasan gaji penjawat awam mulai Disember ini sebagaimana diumumkan YAB Perdana Menteri dalam ucapan terkini beliau akan dibincangkan serta diteliti semula menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Kita akan melihat bagaimana (Kerajaan Negeri) akan respon mengenai kenaikan ini kerana bagi penjawat awam dari (Kerajaan Pusat) sememangnya akan menerima penyelarasan berkenaan, tetapi bagi penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain perlu melihat semula impak kepada kedudukan kewangan untuk membiayai kenaikan ini,” katanya di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata demikian seusai Majlis Menandatangani Persefahaman Antara The Light City Dengan Maxis Untuk Rangkaian 5G dan Smart City & Hotel Management Agreement antara Tetuan Laksana Positif & JDV Hyatt serta Galaxy Minyoun.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai serta dif-dif jemputan yang lain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang merupakan Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memaklumkan nilai peratusan penyelarasan belum ditentukan.

“Sudah tentu kita menjangka pelaksanaan penyelarasan gaji akan diadakan, cuma nilai peratusan perlu ditentukan semula,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : ALISSALA THIAN