IWD2025 pacu pencapaian ke arah kesaksamaan gender – Exco

img 4869

GEORGE TOWN – Sambutan Hari Wanita Sedunia 2025 (IWD2025) Peringkat Negeri Pulau Pinang dirancang diadakan pada 27 Februari sehingga 31 Mac 2025.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata IWD2025 anjuran agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) yang memasuki tahun ke-13 pada tahun ini.

Menurut beliau, penganjuran IWD2025 merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam usaha Kerajaan Negeri umtuk memperkukuh agenda kesaksamaan gender.

img 4870“Bertepatan dengan tema sambutan IWD2025 pada tahun ini iaitu “Memacu Pencapaian” yang menyeru semua pihak untuk mempercepatkan tindakan ke arah mencapai kesaksamaan gender.

“Ekoran bulan Ramadan yang dijangka bermula 2 Mac ini, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menyambut IWD2025 lebih awal (iaitu 27 Februari), walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti bakal diteruskan sepanjang bulan Mac.

“Gaya simbolik sambutan tahun ini pula adalah berunsur “superhero” untuk menonjolkan kekuatan, ketabahan dan keberanian wanita dalam membawa perubahan.

img 5675 2“Malah, Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Sedunia 2025 akan dilaksanakan secara serentak melibatkan lima daerah dan disatukan secara digital melalui ‘cross live streaming’ (dan) dan bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow,” jelasnya semasa sidang media dekat Komtar pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng; Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Dato’ Rohana Abdul Ghani dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), Datin S. Bharathi.

img 4868Sementara itu, Bee Leng turut menjelaskan bahawa sambutan IWD2025 terdiri daripada beberapa komponen yang akan berlangsung mulai 27 Februari sehingga 31 Mac 2025.

“Sambutan tahun ini dirancang dengan lebih teliti bagi memastikan impak yang lebih meluas kepada masyarakat.

“Bangunan-bangunan ikonik di Pulau Pinang bakal disinari lampu ungu bermula 27 Februari ini sempena kempen simbolik ‘Semarak Ungu’ bertujuan menunjukkan solidariti terhadap wanita.

img 4867Selain itu, komponen khusus bersempena bulan Ramadan, sesi ‘Raudhah Ilmu’ bakal memberi perkongsian kerohanian yang menekankan penglibatan Muslimah dalam usaha pemerkasaan wanita dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

“Manakala bagi penggemar aktiviti luar, ‘Fiesta Ungu’ yang merangkumi beberapa acara menarik seperti arca pasir, sukan rakyat dan larian ungu di Ferringhi Bay sejauh 2.2 kilometer (km) juga turut dianjurkan.

“Justeru, diharapkan platform ini dapat menjadi ruang yang bermanfaat untuk memperkasa wanita bagi membangun komuniti yang saling menyokong dan berperanan aktif dalam bidang sosial,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD