GEORGE TOWN – Jabatan Landskap, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan projek naik taraf tanah lapang dekat Sungai Ara – Fasa 4 dinobatkan sebagai pemenang GRPB Champion Award 2019 dan membawa pulang trofi kejohanan, wang tunai berjumlah RM7,000 serta piala pusingan.
Sementara, tempat kedua dan ketiga pertandingan anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dimenangi oleh Jabatan Konservasi Warisan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng ketika menyampaikan ucapan perasmian antara lain menzahirkan penghargaan kepada MBPP kerana saling bekerjasama dengan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dalam memperkasa lagi agenda Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender (GRPB) di peringkat kerajaan tempatan.
“Sejak tahun 2012, GRPB cuba dilaksanakan pada semua peringkat, walaupun ini tahun pertama MBPP dengan kerjasama (PWDC) menganjurkan anugerah kejohanan ini.
“Tujuan pelaksanaan GRPB ini adalah untuk memberi lebih kuasa kepada gender yang berbeza di semua peringkat untuk menyatakan hasrat mereka untuk satu-satu perbelanjaan yang perlu dibuat di peringkat kerajaan tempatan.
“Kita (Kerajaan Negeri) mahu dengar hasrat mereka (rakyat), akhirnya kita membuat keputusan berdasarkan hasil maklum balas mereka ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang di Hotel Jen di sini pada 24 Ogos 2020.
Sebelum itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata pentadbirannya komited untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Negeri dan PWDC demi memperluaskan lagi pelaksanaan agenda GRPB di bandar raya George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Anugerah Kejohanan GRPB 2019 yang buat kali pertama diadakan ini adalah untuk memperkukuh lagi agenda-agenda (berkaitan) GRPB.
“GRPB ini adalah suatu isu berkaitan semua lapisan tanpa mengira jantina, umur, dan latar belakang sosial; bukan setakat (gender) wanita ataupun lelaki, orang tua ataupun orang muda.
“Paling penting, bagi MBPP adalah untuk mengambil kira kepelbagaian gender serta kaedah pelaksanaan (pembangunan bandar raya) supaya dasar-dasar yang dilaksanakan lebih inklusif dan meluas,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng selaku ketua juri profesional bagi anugerah pertandingan tersebut.
Difahamkan, pusingan akhir pertandingan pada kali ini melibatkan 10 kumpulan daripada jabatan dalaman MBPP.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD