Jadikan Lorong Kulit tarikan pelancongan

Admin

GEORGE TOWN – Keunikan yang terdapat di pasar lambak Lorong Kulit (Rope Walk) dekat Datuk Keramat merupakan antara ciri-ciri yang dapat menarik lebih ramai pelancong.

Setiausaha Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Lorong Kulit (PPPKLK) Pulau Pinang, Syamsul Zulkifly berkata, pasar lambak Lorong Kulit sering menjadi tumpuan kepada penggemar barangan antik.

“Oleh itu, bagi pihak Persatuan (PPPKLK) kami ingin mencadangkan supaya tapak di sini dapat dijadikan tumpuan pengunjung bukan sahaja kepada pengunjung tempatan malahan antarabangsa.

“Hal ini sekaligus dapat menjadikan pasar lambak Lorong Kulit sebagai lokasi tumpuan pelancongan,” ujarnya pada kunjungan hormat delegasi PPPKLK Pulau Pinang ke Pejabat Ketua Menteri di Komtar tadi.

KETUA Menteri menerima cenderamata kenang-kenangan daripada Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Lorong Kulit Pulau Pinang sejurus pertemuan di Komtar tadi.

Delegasi turut disertai Pengerusi PPPKLK Pulau Pinang, Cheah Ui Hong; Timbalan Pengerusi PPPKLK Pulau Pinang, Kadersa Marican serta lapan ahli jawatankuasa lain.

Pertemuan selama 30 minit delegasi PPPKLK Pulau Pinang bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow juga dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

Menurut Syamsul, selain mempunyai penjaja yang berbilang kaum, pihak PPPKLK Pulau Pinang berharap agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mempromosikan bukan sahaja Tapak Penjaja Sementara (TPS) tetapi juga kawasan di Kompleks Makanan dan Minuman Lorong Kulit.

“Kami juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan pemasangan perkhidmatan wifi percuma di sini bagi menarik lebih ramai pengunjung terutama ketika menikmati makanan di kompleks makanan dekat sini.

“(Dan) kami juga mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan lagi penganjuran program-program di kawasan berdekatan seperti di Stadium Bandaraya yang dapat menambah pendapatan kami apabila pengunjung bertambah,” katanya.

Serentak itu, pihak PPPKLK Pulau Pinang juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi membendung isu penjaja tidak berlesen, umpama cendawan tumbuh selepas hujan di Lorong Kulit.

“Pihak Persatuan (PPPKLK Pulau Pinang) juga sering bekerjasama dengan pihak polis bagi menjamin keselamatan bukan sahaja penjaja kecil berdaftar di sini malahan pengunjung.

“Kami (PPPKLK Pulau Pinang) berharap para penjaja kecil di sini dapat menjalankan perniagaan dengan selesa dan selamat,” ulasnya yang berharap agar isu kekurangan parkir dapat juga diatasi.

Bagi penjaja buah-buahan, pihak PPPKLK Pulau Pinang juga menyuarakan hasrat agar dapat dipertimbangkan lanjutan waktu berniaga sehingga jam 7 malam berbanding kini sehingga 5 petang.

Pada pertemuan itu, Syamsul turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang senantiasa memberi sokongan dan membantu penjaja kecil di negeri ini agar terus kekal berdaya maju.

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti dahulu dan sedia menimbang cadangan yang dikemukakan oleh PPPKLK Pulau Pinang dengan sewajarnya.

Sebagai rekod, PPPKLK Pulau Pinang dinaungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa sejak 2008.

Pelbagai penambahbaikan telah dilakukan termasuk menaik taraf kompleks makanan dan minuman serta tandas-tandas awam di Lorong Kulit.

PPPKLK Pulau Pinang ditubuhkan pada 1992 dan didaftarkan pada 1996 dengan keahlian kini mencecah 500 orang. Selain penjaja di Kompleks Makanan dan Minuman Lorong Kulit, pihak PPPKLK Pulau Pinang turut menyelia peniaga kecil buah-buahan dan barangan am di pasar lambak dekat sini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD