Jadikan MAKSAK medan tonjol bakat, atlet cemerlang wajar diketengahkan ke SUKMA, syor Ketua Menteri

Admin
2c5a2f5f 4d9c 4c70 9d56 90d1d15d51cc KETUA Menteri (tengah) diiringi Rosli Isa (dua dari kiri) dan barisan pemimpin lain turut menyempurnakan acara gimik pelancaran Tabung Sumbangan MAKSAK Negeri Pulau Pinang semasa Majlis Makan Malam dan Apresiasi MAKSAK Negeri 2023 di Hotel Eastin, Bayan Lepas pada 1 Februari 2024.

BAYAN LEPAS – Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Negeri Pulau Pinang wajar dijadikan sebagai medan buat atlet baharu menunjukkan bakat serta prestasi cemerlang masing-masing untuk diketengahkan dalam temasya suka yang lebih berprestij.

d1d9bbdf dd18 498e 97b2 3e7c035c6ce2
KETUA Menteri

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam dan Apresiasi MAKSAK Negeri Pulau Pinang 2023 di sini pada 1 Februari 2024.

“Saya ingin menyeru agar pelaksanaan sukan atau apa-apa aktiviti dan program MAKSAK Negeri Pulau Pinang dapat diselarikan dengan Visi Penang2030, di bawah Inisiatif Strategik A4, Tema 2 iaitu ‘Peningkatan 50 peratus kadar aktiviti sukan dan rekreasi penduduk negeri Pulau Pinang’.

“(Justeru,) MAKSAK ini boleh dijadikan sebagai salah satu medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu sukan untuk negeri ini yang mana atlet-atlet yang telah mempamerkan prestasi cemerlang boleh diketengahkan ke temasya sukan yang lebih tinggi, misalnya Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Kewangan dan Komunikasi berkata Kontinjen Negeri Pulau Pinang menyasarkan 40 pingat emas pada SUKMA 2024.

Demi mencapai sasaran tersebut, beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi penyediaan serta persiapan pasukan atlet negeri dalam memburu kejuaraan pada temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu nanti.

Sebelum itu, beliau turut memuji inisiatif Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa yang memudahkan idea untuk menghidupkan semula acara tradisi iaitu penganjuran majlis makan malam dan apresiasi dengan tema pakaian yang begitu menarik pada malam ini.

Seperti diucapkan oleh Rosli sebelum itu, Kon Yeow berkata pentadbirannya turut berharap MAKSAK Negeri Pulau Pinang turut dapat memperbaiki kedudukan ke-10 daripada 14 kontinjen yang dicapai dalam Kejohanan Sukan MAKSAK 2023.

“Kita perlu melonjak kedudukan kita ke tahap yang lebih baik (yang mana) pasukan ping pong berkumpulan merupakan satu-satunya pemenang pingat emas daripada pasukan MAKSAK Negeri Pulau Pinang,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Yang Dipertua 2 MAKSAK Negeri, Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria kerana mengetuai kontinjen Pulau Pinang pada tahun lepas.

Selain Rosli dan Mohd. Zakuan, hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Roslinda Mohd. Shafie; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim; Setiausaha Kehormat MAKSAK Negeri, Muhamad Husni Mahmud; dan Bendahari Kehormat MAKSAK Negeri, Masni Aryanti Mohamed Amin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI