Jadual perkhidmatan ETS, feri berbeza kerana sasar pengguna berbeza – Exco

e0c5cbf7 869d 44eb 86ab 123affbbb001

GEORGE TOWN – Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari menyatakan ketidaksepadanan jadual perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan feri adalah berikutan sasaran pengguna yang berbeza.

Jelas Zairil, jadual perkhidmatan feri ditetapkan berdasarkan kepada statistik pengguna feri mengikut waktu pergi dan balik kerja di antara Seberang Perai dan George Town.

“Melalui pemerhatian, majoriti pengguna feri Pulau Pinang terdiri daripada penduduk Pulau Pinang yang berulang alik ke tempat kerja, institusi pendidikan dan sekolah.

“Manakala perkhidmatan tren elektrik pula memberi tumpuan utama kepada perkhidmatan lintas negeri antara negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan kepada penelitian dan rekod oleh pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), hanya tiga masa perjalanan tidak sepadan iaitu pada pukul 12:20 (Northbound Train Arrival at Butterworth), 05:15 dan 06:30 (Southbound Train Departure from Butterworth),” ujarnya.

Zairil berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata, pihak PPSB bersedia untuk mempertimbangkan untuk menyemak semula jadual perjalanan feri Pulau Pinang sekiranya terdapat permintaan mencukupi.

Pada sesi sama, Zairil memaklumkan bahawa statistik pengguna feri mulai bulan Januari hingga bulan Oktober 2024 bagi penumpang pejalan kaki adalah seramai 1.76 juta penumpang manakala bagi kenderaan dua roda adalah sebanyak 0.6 juta.

“Walau bagaimanapun dianggarkan perkhidmatan feri mengalami kerugian tahunan sekitar RM14 juta.

“Untuk gambaran kasar, kutipan tiket perkhidmatan feri hanya dapat menampung lebih kurang 35 peratus daripada perbelanjaan kos perkhidmatan operasi feri.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kerugian operasi feri ialah seperti kos minyak diesel, kos pemeriksaan tahunan dan penyelenggaraan yang wajib untuk menjamin keselamatan feri yang beroperasi serta bayaran kos insuran perkhidmatan yang melebihi RM2 juta untuk setiap feri setiap tahun,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD