Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow menasihatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN)Pulau Pinang, Teng Chang Yeow supaya segera membatalkan hasrat kerajaan pusat untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang.
Chang Yeow dinasihat sedemikian ekoran keghairahannya berbincang kosong mengenai cadangan menjadikan pelabuhan tersebut sebagai ‘Status Pelabuhan Bebas.
“Pemimpin-pemimpin BN ini lebih berminat bercakap mengenai idea-idea sahaja seperti Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin).
“Cadang ‘Status Pelabuhan bebas’ sampai sekarang masih menjadi cadangan sahaja, sedangkan isu yang lebih kritikal adalah penswastaan pelabuhan,” katanya baru-baru ini di sini.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut mempertikai dalih Chang Yeow untuk merealisasikan ‘Status Pelabuhan Bebas’ di Pelabuhan Pulau Pinang selepas pilihan raya umum ke-13.
“Perkara (bidang kuasa) pelabuhan ini adalah bidang kuasa pusat. Kalau nak buat sekarang pun, BN boleh buat kerana mereka kerajaan pusat.
“Tak perlu tunggu mereka kembali menguasai Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kami (Kerajaan Negeri) pun jelas pendirian iaitu mahu menghentikan cadangan penswastaan ini,” ujarnya.
Menurut beliau, sekiranya proses penswastaan pelabuhan tersebut sempurna kepada syarikat Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. yang dikuasai oleh jutawan industri, Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Al-Bukhary, bermakna halatuju pembangunan pelabuhan itu mungkin tidak mengambil kira kepentingan rakyat serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Ini kerana katanya, Pulau Pinang tidak lagi menguasai ekuiti serta kepentingan dalam urusan pelabuhan komersial itu.
“Contoh dalam ekuiti di Pulau Jerejak sungguhpun PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) mempunyai 49 peratus kepentingan, ia tetap tidak ada kuasa. UDA yang mempunyai pemilikan 51 peratus, bermakna dia mempunyai kuasa ke atas pulau itu,” ujarnya.