Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), A. Kumaresan menyeru MPPP selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) bersiap-siaga terhadap isu-isu berbangkit terutamanya faktor kebersihan dalam memacu ke arah wawasan menjadikan Pulau Pinang sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa sebagaimana dilaungkan Ketua Menteri.
Kumaresan berkata, dalam misi menuju ke arah sebuah bandaraya pintar bertaraf antarabangsa, pokok asas yang perlu diberikan perhatian adalah isu kebersihan.
“MPPP selaku PBT perlu memandang serius akan hal ini.
“Kita (MPPP) seharusnya memastikan Pulau Pinang sekurang-kurangnya mencapai tahap kebersihan minima yang diperlukan sesebuah bandar antarabangsa,” ujarnya pada ucapan penangguhan Mesyuarat
Biasa Majlis di Dewan Bandaran di sini baru-baru ini.
Pada masa sama, Kumaresan turut mencadangkan agar Majlis melakukan pembaharuan.
“MPPP perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah, menyediakan garis panduan terhadap golongan perokok, memperluaskan tempat larangan merokok melalui pewartaan tempat tumpuan awam.
“Penasihat Undang-undang juga perlu mengkaji semula undang-undang sedia ada dan mengesyorkan pelaksanaan sistem merit di semua kompleks makanan awam, gerai dan restoran 24 jam.
“Ini adalah bagi mendidik pesalah yang sewenangnya membuat kesalahan memandangkan kita (MPPP) sudah cukup memberi pendidikan awam serta amaran lembut selama ini,” tegas beliau.