PADANG LALANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pagi ini mengagihkan 40 pek bekalan makanan kepada ibu tunggal dan wanita terpilih di Rumah Pangsa Desa Wawasan di sini bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan dua Ahli Majlis lain bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut sertai acara ringkas tersebut.
Pada majlis sama, Jagdeep turut menyerahkan surat tawaran menyewa seunit rumah pangsa di sini kepada salah seorang pemohon, Mazfuzana Mohd. Taib, ibu kepada tiga orang anak.
“Kami berempati terhadap permasalahan dalam surat yang beliau tulis kepada Kerajaan Negeri pada bulan September 2020 yang lalu dan masalah tersebut telah berjaya diselesaikan.
“Kini, Puan Mazfuzana telah ditawarkan unit sewa di Rumah Pangsa Desa Wawasan selama tiga tahun mulai 15 Mac 2021 hingga 14 Mac 2024,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat kepada pemberita, selepas membuat pemeriksaan mengejut mengenai tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bangunan berstrata tersebut di sini pada 14 Mac 2021.
Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) kerana sejak Januari 2019 berjaya melaksanakan program Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB) dengan melantik ejen perkhidmatan pembersihan dan keselamatan dalam kalangan penduduk setempat di rumah pangsa tersebut.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa kejayaan itu mendorong MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) masing-masing melaksanakan program GRPB yang sama di Taman Ampangan dan Jalan Sungai.
“Pelantikan ini dibuat dengan hasrat untuk memupuk rasa tanggungjawab kepada penduduk setempat menjaga sendiri kebersihan dan keselamatan di kawasan kediaman mereka,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, kontrak pembersihan bagi tempoh 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 serta nilai RM210,692.40 telahpun diluluskan, dengan penglibatan 10 petugas pembersihan termasuk lima wanita.
Sementara kontrak keselamatan yang ditauliahkan kepada Kawalan Keselamatan BG Sdn. Bhd. bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2022 pula dinilai sebanyak RM379,890.43 dengan penglibatan sembilan petugas keselamatan termasuk tujuh wanita.
“Peranan wanita dalam keluarga dan komuniti adalah amat penting dan tidak boleh diketepikan dalam pembangunan masyarakat.
“(Kelulusan kontrak pembersihan dan kontrak keselamatan di bawah program GRPB) ini selari dengan tema tahun ini iaitu ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, yang memperlihatkan kekuatan seorang insan bergelar wanita,” katanya lagi.
Selain itu, Jagdeep turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 telahpun membelanjakan RM267 juta untuk membiayai pelbagai kerja-kerja penyelenggaraan di perumahan awam dan perumahan swasta yang berkelayakan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR