Jagdeep lega Pusat salur dana baik pulih sekolah Tamil

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo melahirkan rasa lega ekoran permohonan dana berjumlah RM4.67 juta untuk membaikpulih semula Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Ramakrishna dekat Jalan Scotland di sini akhirnya diluluskan Kerajaan Pusat.

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan berkata, peruntukan tersebut diharap cukup untuk membaiki bumbung serta beberapa bahagian bangunan yang rosak dalam satu insiden, sebelum ini.

“Saya lega apabila sekolah (Ramakrishna) akhirnya dapat dana daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM4.75 juta untuk pembinaan semula (bangunan sekolah berkenaan),” ujarnya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pra Sekolah SJKT Ramakrishnan di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Presiden Ramakrishna Ashram, K. Ramasamy turut melahirkan penghargaan atas keprihatian Jagdeep terhadap masalah prasarana di sekolah terbabit yang terdiri daripada sekolah tadika, sekolah rendah serta pusat perlindungan kanak-kanak.

Menurut beliau, ayah Jagdeep, mendiang Karpal Singh semasa menjadi Ahli Parlimen Bukit Gelugor dahulu turut komited dalam pembangunan sekolah aliran Tamil.

Justeru, Ramasamy berharap, cita-cita memartabatkan sekolah aliran Tamil di tanah air ini turut disambut oleh waris
murid-murid sendiri.

“Sepatutnya kita bangga dengan bahasa (Tamil) kita, kita akan maju dan pasti akan menyumbang kepada masyarakat suatu hari nanti kerana sekolah ini (SJKT Ramakrishna) merupakan antara sekolah Tamil terbaik di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Terdahulu, Jagdeep pada April 2013 mengutus surat permohonan dana daripada Kerajaan Pusat untuk membaikpulih SJKT Ramakrishna, selepas diminta oleh guru serta waris murid sekolah berkenaan.

Dalam suratnya, Jagdeep memberitahu, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelajaran seharusnya bertanggungjawab terhadap keperluan segera membaikpulih infrastruktur sedia ada di sekolah berkaitan.