Jajaran LRT Komtar – Bayan Lepas belum muktamad, Ketua Menteri gesa umum tidak terpengaruh sebaran tidak sahih

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan bagi pembangunan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas masih pada peringkat kajian.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa menghormati setiap garis panduan hukum hakam (agama) Islam dengan merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum membuat sebarang keputusan rasmi bagi cadangan tersebut.

 

“Kerajaan Negeri juga akan mematuhi keputusan dan syarat-syarat yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung Skim Rel Kereta Api ini.

 

“(Malah), Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan semua sesi penglibatan orang awam bersama-sama pihak berkepentingan menjadi keutamaan demi menjaga kesejahteraan sejagat,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

CHOW Kon Yeow.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus; barisan Exco Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

 

Turut serta, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayidin serta wakil-wakil daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang serta Bahagian Kerajaan Tempatan.

 

Terdahulu, Kon Yeow merujuk kepada maklumat tidak sahih yang disebarkan melalui media sosial dan internet berhubung dakwaan bahawa jajaran LRT Komtar – Bayan Lepas akan menjejaskan kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar serta tanah wakaf perkuburan Islam.

 

Jelasnya, jajaran tersebut masih di peringkat kajian dan lawatan tapak di masjid berkaitan baru-baru ini hanyalah sebahagian daripada tinjauan awal.

 

“Oleh itu, saya menggesa supaya tidak terpengaruh dengan sebaran tidak sahih memandangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berusaha membina negeri yang mampan, inklusif dan mengambil kira semua keperluan rakyat sejajar dengan visi dan misi Penang2030,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Shahabuddin ketika disoal mengenai tanda merah yang diletakkan di atas tanah perkuburan tersebut menjelaskan bahawa ia adalah sebahagian kajian awal atau ‘setting out‘ untuk panduan pihak berkaitan.

 

IR. Shahabuddin Mohd. Muhayidin.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
ambar : CHAN KOK KUAN