GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa fasa pertama projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang akan kekal dalam jajaran sama, seperti dipersetujui bersama-sama pihak pelaksana, Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp.) sebelum ini.
“Sama ada (Stesen Gudhwara) dikeluarkan atau tidak dalam jajaran, ia bukan terma yang sesuai untuk digunakan apabila di bawah kerajaan hari ini telah memperoleh kelulusan jajaran sedia ada (yang mana) tidak termasuk (Stesen) Gudhwara,” responsnya seusai merasmikan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Permohonan Pelanjutan Tempoh Pajakan dan Pemberimilikan Tanah di sini pada 4 Julai 2024.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Stesen Komtar dan Stesen Sia Boey kekal dalam jajaran sedia ada tersebut.
Berhubung jajaran tambahan dari Komtar ke Macallum pula, Kon Yeow berkata bahawa permohonan kelulusan berasingan perlu dilakukan dan diluluskan terlebih dahulu, dalam fasa pembinaan LRT ke Penang Sentral, Butterworth nanti.
“Ia, boleh diimplementasikan secara berasingan kerana untuk memulakan pelaksanaan (cadangan tersebut), jajaran perlu diluluskan terlebih dahulu,” responsnya lanjut.
Terdahulu, pada hujung Mei lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu bahawa fasa pertama pembinaan LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang dijangka bermula pada hujung tahun ini.
Fasa sulung pembinaan merangkumi 27 Stesen dengan jajaran sepanjang 29 kilometer (km).
Jajaran yang dipersetujui antara Kerajaan Negeri dan MRT Corp. adalah bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga Tanjung Bungah, berbanding jadual asal stesen terakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Difahamkan, Gudhwara memang tidak dimasukkan dalam dalam jadual asal penjajaran yang telah diluluskan ketika ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN